![]() |
| Wong Mei Lin memberi penerangan mengenai kanser payu dara kepada sebahagian penduduk yang datang mendapatkan pemeriksaan kesihatan. |
ADA tanggapan mengatakan penduduk di luar bandar terutama orang kampug kurang kesedaran kesihatan. Tetapi adakah realitinya begitu? Benarkah pengetahuan penduduk kampung mengenai kesihatan rendah?
Kesempatan menyertai Ekspedisi Saringan Kesihatan Kelantan Pfizer Care-A-Van di Machang dan Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini membolehkan penulis mengetahui sendiri sejauh mana kebenaran dakwaan itu.
Penulis inginkan kepastian sejauh mana mereka mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemudaratan atau jangkitan penyakit terutama yang menjadi pembunuh nombor satu wanita dan lelaki iaitu jantung, kanser payu dara, kanser serviks serta kanser prostat.
Ternyata, pengetahuan kebanyakan penduduk kampung yang menyertai kempen itu tidak mengecewakan. Mereka cukup faham, sedar dan prihatin akan isu yang berkaitan kesihatan.
Seorang pengunjung dari Kampung Pek, Rina Sulaiman, 41, berkata, sejak remaja dia sememangnya sangat mementingkan kesihatan.
Justeru, setiap tahun dia akan menjalani pemeriksaan beberapa kali di klinik dan hospital bagi memastikan kesihatannya sentiasa baik.
Rina yang mempunyai tiga cahaya mata berkata, dia bukan sahaja menjalani pemeriksaan apabila sakit, tetapi juga ketika sihat dan semasa kempen kesihatan dianjurkan mana-mana pihak.
"Kesihatan adalah segala-galanya kerana ia memainkan peranan besar dalam memastikan kebahagiaan dan kesempurnaan hidup.
"Saya sering mendapatkan maklumat berhubung isu kesihatan termasuk seksual dan reproduktif bagi mengelakkan diri dijangkiti penyakit berkaitannya.
"Pada masa sama, saya memuji usaha Pfizer ini kerana mampu menggalakkan lebih ramai orang prihatin mengenai kesihatan mereka setiap masa," katanya ketika ditemui di Kampung Kemuning, Machang.
Suri rumah kepada tujuh orang anak, Maznah Yaacob, 58, menyifatkan komitmen yang dijalankan Pfizer satu tugas murni dan amat bagus dalam membantu memberi kesihatan lebih baik kepada masyarakat.
"Walaupun saya cukup sedar pemeriksaan kesihatan amat penting, saya jarang melakukan pemeriksaan berkala kerana kesibukan menguruskan rumahtangga.
"Seringkali saya hanya akan mengikuti program kesihatan yang dianjurkan di kawasan berhampiran seperti ini.
"Selepas membuat pemeriksaan pada kempen Pfizer, baru saya tahu yang saya menghidapi penyakit darah tinggi namun nasib baiklah ia tidak teruk," ujarnya tersenyum.
Suri rumah, Normah Harun, 44, memberitahu, dia dan suami cukup menitikberatkan soal pemeriksaan kesihatan.
"Sejak bertahun-tahun, saya, suami dan anak-anak akan menjalani pemeriksaan setiap tahun bagi memastikan kami sentiasa sihat.
"Di rumah, saya akan menyediakan makanan seimbang untuk keluarga dan sering membaca maklumat berkaitan kesihatan.
"Sekiranya sakit, kami sekeluarga akan membuat pemeriksaan di klinik atau hospital walaupun ada mengamalkan cara perubatan tradisional yang disarankan nenek moyang," katanya yang cukup berpuas hati dengan kaedah pemeriksaan yang dianjurkan Pfizer ini.
Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan Azman, 39, pula berpendapat, masyarakat perlu diberikan pendedahan secara berterusan berhubung isu atau masalah kesihatan.
"Ia mampu menggalakkan kesedaran dan ingatan mereka supaya memelihara kesihatan setiap masa.
"Selain bahan bacaan dan risalah, kempen bersesuaian penting dalam memastikan orang ramai terutama penduduk kampung lebih faham, mudah dan bersetuju melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: