![]() |
| KANYE WEST berharap peminat muzik menerima kemunculan semula dirinya selepas kontroversi yang dicetuskannya pada VMA Awards pada tahun 2007 sehingga memalukan Taylor Swift yang kini antara penyanyi paling popular di dunia. |
SELEPAS lima tahun tiada sebarang album muzik yang berjaya mencecah tahap jualan 1 juta unit dalam tempoh seminggu di pasaran, nampaknya pada tahun ini penyanyi jelita, Taylor Swift berjaya melakar sejarah.
Album terbaru penyanyi country-pop yang berjudul, Speak Now itu berjaya terjual mencecah 1.047 juta unit pada minggu pertama ia berada di pasaran yang berakhir pada tarikh 31 Oktober lalu.
Ia merupakan jualan album terlaris sejak album rapper 50 Cent, The Massacre terjual sebanyak 1.141 juta unit dalam tempoh masa yang sama pada 2005.
Album ketiga Taylor, 20, yang turut meraih kritikan positif pengkritik muzik itu juga mencatat sejarah sebagai album kedua terlaris pada minggu pertama berada di pasaran bagi album country sejak tahun 1991.
“Sungguh, saya tidak percaya. Terima kasih kepada peminat saya di luar sana yang menjadikan ia suatu realiti,” ulas Taylor menerusi Twitter.
Pencapaian album terbaru Taylor itu dilihat sebagai kejayaan hasil kerja keras promosi album tersebut di sebalik kejatuhan merudum jualan album selepas pasaran album di seluruh dunia dikuasai lanun cetak rompak.
Taylor memenangi empat Anugerah Grammy pada tahun ini hasil daripada album keduanya, Fearless yang merupakan album terlaris 2009.
Menerusi album Speak Now, dia mendendangkan lagu-lagu yang menyentuh mengenai pengalamannya yang dilaluinya bersama beberapa selebriti lain termasuk John Mayer, Joe Jonas, rapper Kanye West serta bintang Twilight, Taylor Lautner. Mayer, Jonas dan Lautner antara lelaki yang pernah menjalinkan percintaan dengan Taylor.
Kanye dan Taylor pula pernah terbabit dalam kontroversi di pentas majlis Video Music Awards 2007 apabila Kanye meluru dan merampas trofi serta mikrofon yang dipegang Taylor sejurus Taylor mahu membuat ucapan ekoran kemenangannya untuk kategori Video Penyanyi Wanita Terbaik.
Dalam pada itu, Kanye West dalam kenyataan terbarunya mendakwa kontroversi yang dibikinnya di pentas VMA 2007 itulah yang telah menyebabkan Taylor semakin bertambah popular sekarang ini.
“Saya berasa simpati terhadapnya yang terpaksa melalui momen pada VMA yang sebenarnya telah menyebabkan dia berpeluang menjadi penghias muka depan menerusi sejuta majalah dan menjadi artis paling popular di dunia. Momen itu merupakan suatu pengalaman pahit buatnya, dan saya berasa bersalah kerana menjadi pencetusnya,” ujarnya.
Biarpun meminta maaf kepada Taylor, namun Kanye menegaskan gangguan di pentas majlis anugerah sentiasa berlaku.
“Saya ada berjumpa Taylor dan berkata kepadanya, “Apa perasaan anda?” dan saya mohon maaf kerana bersikap kurang ajar di pentas VMA 2007. Saya menghalang dia membuat ucapan, tetapi bukankah muzik (sebagai isyarat untuk memendekkan ucapan kemenangan) juga sentiasa menghalang pemenang anugerah daripada meneruskan ucapan?” tegas Kanye.
Penyanyi berusia 33 tahun yang tidak aktif menyanyi selepas dikecam ramai berikutan insiden tersebut mengakui dia kini menaruh harapan untuk kembali aktif.
“Secara peribadinya, saya berada dalam keadaan yang lebih baik sekarang ini. Saya cuba memperbaiki imej saya pada mata masyarakat dan diri sebagai artis yang menjadi tumpuan mereka,” ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: