SI pemilik senyuman manis ini antara jejaka kegilaan gadis-gadis di luar sana. Jika dicetak borang permohonan untuk menjadi kekasihnya, pasti ada deretan panjang mengambil giliran. Jujur mengakui hatinya masih belum dimiliki, Wan Hafizol Wan Omar atau dikenali dengan Fizo berhasrat menjadikan kerjayanya sebagai buah hati saat ini.
“Fokus saya hanya pada lakonan, saya masih tiada teman istimewa. Berkawan biasa itu memang ada tapi belum bersedia untuk serius,” ucap anak kelahiran Kelantan itu dalam suara yang tertahan-tahan.
Aktor yang kerjayanya berputik setelah muncul pemenang tempat kedua Hero Remaja 2007/2008 itu memberikan satu tarikh. Tahun 2011 dinamakan tahun paling layak untuk hatinya serius bercinta.
“Ketika itu saya mungkin sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan komitmen dalam perhubungan,” katanya tanpa memberikan satu nama, tanda seseorang sedang istimewa ada di mata.
Terbaru, jejaka berumur 25 tahun sedang menjalani penggambaran sebuah filem arahan A.R. Badul berjudul Hello.
Menerusi filem berkenaan, dia bergandingan bersama pendatang baru, Dayana, bintang yang digilap daripada program Anak Wayang tahun lalu.
Di kaca televisyen, kelibatnya bukan lagi asing. Seperti sudah menjadi wajah rasmi untuk slot Lagenda yang bersiaran di TV3, Fizo terpampang dalam pelbagai karakter antaranya menerusi Puteri Salju, Musang Berjanggut dan Siti Kelembai.
Kini Fizo muncul dalam satu lagi drama Lagenda yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang menerusi Ulik Mayang.
“Watak Putera Mayang Sakti ada peranan kuat dalam cerita itu. Walaupun babak yang melibatkan saya tidak banyak, tetapi banyak pengalaman yang saya belajar ketika penggambaran drama kali ini,” katanya.
Ulik Mayang mengangkat kisah Puteri Mayang Sari lakonan Elly Mazlein yang berdepan badai percintaannya bersama pemuda dari bumi, Ali (Fezrul Khan).
Iri hati terhadap percambahan kasih dua pasangan itu, Puteri Mayang Mengurai (Sabrina Ali) mengenakan sumpahan ke atas Mayang Sari. Wajah Mayang Sari akan berubah kehitaman seperti hantu apabila dilihat orang.
Perginya ayahanda menghadap Ilahi membuka lembaran baru buat Putera Mayang Sakti apabila dia pula menyarung mahkota negara kayangan.
Bermain watak Putera Mayang Sakti, Fizo kali ini menjadi pemegang takhta kerajaan kayangan.
Ketegangan membabitkan kedua-dua adindanya yang tidak puas hati menyebabkan Putera Mayang Sakti mencari jalan bertindak sebaik mungkin.
Bagi mengikuti kesudahannya, jangan lupa temu janji anda bersama Fizo dan barisan pelakon hebat drama Ulik Mayang yang pasti akan menambat hati anda untuk terus setia mengikuti kisah yang diangkat kisah legenda tinggalan zaman itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: