Thursday, November 11, 2010

Inspira hasil kerjasama Proton, Mitsubishi



Debaran menanti kemunculan kereta terbaru keluaran Proton Holdings Berhad, Inspira, berakhir semalam apabila ia dilancarkan secara rasmi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pelancaran itu menunjukkan pencapaian Proton dalam melakar sejarah terbaru sejak beroperasi lebih 25 tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, sejak pelancaran pengenalan pada 14 Oktober lalu sehingga semalam, Proton Inspira menerima tempahan 1,800 unit.

"Setakat ini, anggaran tempahan adalah 100 unit sehari," katanya pada majlis pelancaran Proton Inspira di Subang Jaya, semalam.

Hadir sama, Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Mohd Nadzmi berkata, Proton Inspira dilahirkan menerusi kerjasama Proton dengan syarikat automotif dari Jepun, Mitsubishi Motors Corporation.

Menurutnya, daripada aspek perniagaan, pembangunan sesuatu model bukan induk melalui kerjasama adalah jauh lebih efektif jika dibandingkan kos pembangunan secara sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, Proton menyasarkan 40 peratus komponen tempatan dalam model kereta nasional terbaru ini sehingga akhir tahun.

"Jumlah kandungan komponen tempatan ini akan ditingkatkan untuk tahun-tahun akan datang dan ini mampu memapankan perniagaan dan pada masa sama, membangunkan kebolehan serta kepakaran jaringan pembekal komponen tempatan," katanya.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin ketika mengendalikan persembahan multimedia berkata, pelanggan yang membuat tempahan Proton Inspira sehingga 15 November ini bakal menikmati servis percuma selama dua tahun atau 50,000 kilometer perbatuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: