Thursday, November 4, 2010

Inovasi teknologi akupuntur


Bebola di hujung pen akupuntur berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin tertentu.


AKUPUNTUR berasal daripada perkataan Latin di mana acus bermaksud jarum dan pungere bermaksud cucuk. Akupuntur merupakan sejenis perubatan yang menggunakan teknik tusukan jarum-jarum halus pada titik tertentu badan yang dikenali sebagai acupunture point .

Jika mengikut sejarah, rawatan akupuntur telah digunakan oleh pelbagai masyarakat kuno tamadun awal seperti orang-orang Bunti Afrika, Arab Tigris, Mesir kuno, India dan China.

Namun begitu, ahli-ahli perubatan memberikan penghormatan mereka kepada China kerana amalan akupuntur ini telah lama diamalkan oleh rakyat China iaitu sejak 4,000 tahun dahulu dan diteruskan sehingga hari ini.

Sejarah juga ada membuktikan bahawa bangsa Cina merupakan bangsa pertama di dunia yang mencatatkan sejarah dalam perubatan akupuntur.

Akupuntur dikatakan salah satu kaedah rawatan hipnosis dan berkesan dalam rawatan sebagai ubat penahan sakit atau anestetik.

Pesakit juga boleh berada dalam keadaan sedar ketika menerima rawatan akupuntur.

Hari ini, sejajar dengan perkembangan teknologi yang pesat membangun, rawatan akupuntur turut mengalami transformasi.

Jika dahulu jarum-jarum halus sering digunakan dalam rawatan tersebut, hari ini satu inovasi teknologi akupuntur telah direka iaitu sebuah alat berbentuk seperti pen yang mempunyai fungsi yang sama dengan cara tradisional.

Inovasi rawatan akupuntur laser dari Korea ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

Pakar rawatan akupuntur dari Korea, Dr. Muhammad Kim menjelaskan, penggunaan alat akupuntur laser ini hanya melibatkan luaran kulit membuatkan kebersihannya lebih terjamin.

Tambah beliau, selain membantu mengembalikan tahap kesihatan, akupuntur juga dipercayai mampu melegakan kesakitan.

''Rawatan laser akupuntur ini menggunakan alat berbentuk seperti pen. Bebola di hujungnya berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin yang tertentu untuk melancarkan peredaran darah.

''Tidak seperti jarum, pena laser ini lebih selamat dan mudah digunakan dengan pemegang seakan pen dan hujung pena ini didatangi dengan tiga 'kepala' berlainan saiz serta berlainan kegunaan.

''Hari ini, pena laser ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang,'' jelasnya ketika ditemui di pusat rawatannya baru-baru ini.

Beliau menerangkan, akupuntur laser berfungsi dengan cara merangsang poin-poin akupuntur.

Terdapat 365 titik akupuntur yang utama dan lebih 1,000 titik luar biasa pada tubuh manusia di mana titik luar biasa wujud apabila terbit sesuatu penyakit pada organ badan kita seperti bengkak dan sebagainya.

Dan sebahagian daripada titik akupuntur tersebut terdapat di 12 bahagian kumpulan utama dan digabungkan melalui meridian yang mengawal edaran seks, paru-paru, usus besar, usus kecil, perut, limfa, pundi kencing, buah pinggang, pundi hempedu dan hati.

Poin-poin tersebut terletak berdekatan dengan sistem saraf dan apabila disalurkan laser, ia akan memberi rangsangan terus dan memindahkan impuls elektrik melalui spinal cord dan otak hingga ke bahagian badan yang bermasalah.

Dr. Muhammad Kim menambah, kesan pena laser yang juga dikenali dengan gelaran Microcurrent Pulse Stimulator ini dikatakan 500 kali ganda lebih kuat dan pantas berbanding tusukan jarum klasik.

Di kalangan masyarakat Korea ujarnya, alat ini diberi jolokan 'Doktor Rumah' dan kini ia boleh didapati di Malaysia.

Ditanyai mengenai kos rawatan yang diberikan di pusat rawatannya, Dr. Muhammad memberitahu, beliau hanya mengenakan bayaran sebanyak RM30 untuk satu rawatan dan bagi mereka yang ingin memiliki set pena tersebut, ia turut dijual pada harga RM1,200.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan akupuntur laser tersebut boleh mengunjungi pusat rawatannya Mentari Korea yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: