CANGGIH...pelbagai keperluan gajet ICT menjadi pengantara paling penting dalam proses pembelajaran masa kini.
JIKA dulu proses pembelajaran sukar dan membosankan, kini segalanya berubah dengan penggunaan pelbagai gajet teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di menara gading.
Tidak perlu bersusah payah menyalin nota, berhujan berpanas ke perpustakaan atau bertungkus-lumus menyediakan kertas pembentangan kerja kerana kini semuanya di hujung jari.
Meskipun penggunaan gajet memudahkan urusan, timbul isu yang mendakwa mahasiswa semakin malas dan tidak kreatif kerana terlalu manja dengan pemodenan.
Dengan kata lain, pelajar kini semakin hilang ‘nikmat’ dan rasa tanggungjawab terhadap pengajian berbanding pelajar dulu yang lebih menghargai kesusahan demi kejayaan.Timbalan Dekan Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan Management and Science University (MSU), Adam Amril Jaharadak, berkata masyarakat tidak mampu menolak pembaharuan dan menerimanya sebagai proses kelangsungan hidup.Beliau berkata, keperluan pelbagai gajet teknologi bukan lagi sebagai aset kemewahan, namun keperluan dalam dunia moden ini.
“Masyarakat seluruh dunia berlumba-lumba mengorak langkah meneroka pelbagai kecanggihan ICT. Mereka teruja dan tidak sabar menanti penampilan baru gajet terkini kerana tahu manfaatnya.
“Jadi, bukalah minda, jangan asyik terkongkong dengan pemikiran lama.
“Segalanya memerlukan ICT, bayangkan jika dunia tanpanya, pasti kehidupan suram dan pemikiran tidak berkembang,” katanya.
Ledakan ICT melanda dunia sejak sedekad lalu apabila Internet diperkenalkan sekali gus pembantu utama manusia mendapatkan pelbagai ilmu dan maklumat.
Melepasi tempoh itu, dunia ICT semakin memuncak dengan penghasilan gajet terbaru dengan harga mampu milik.
Telefon bimbit, komputer riba, Internet tanpa wayar antara gajet ICT pelbagai versi yang silih ganti mewarnai pasaran.
Beliau menolak andaian pelajar menjadi semakin malas dengan bantuan teknologi sebaliknya menganggap itu hanya dakwaan tanpa asas.
Penggunaan pelbagai gajet ICT, katanya, menjadi pelajar lebih cemerlang kerana penggunaan itu banyak membantu menjana pelbagai idea dan membentuk kreativiti.
“ICT bukan medium yang boleh melencongkan pemikiran pelajar secara total atau menjadikan mereka pasif, ia terpulang kepada individu itu sendiri.
“Secara umum, ICT membantu menjadikan proses pembelajaran lebih seronok, berdaya saing, penuh dengan maklumat dan pelbagai informasi.
“Jangan menafikan hak pelajar mempelbagaikan kemahiran sedangkan itulah diperlukan industri,” katanya turut menyelar pendapat masyarakat pelajar hari ini hanya dilonggokkan kesenangan dalam pelbagai aspek.
Katanya, tanggapan itu tidak adil kerana kita hidup pada zaman berbeza. Dulu kita juga menikmati kemajuan teknologi yang tersedia. Situasi sama juga berlaku sekarang.
“Menyamakan kehendak dulu dengan sekarang tentu tidak boleh.
“Apa boleh dilakukan, memberi nasihat, teguran selain pemantauan agar gajet sedia ada tidak disalah guna,” katanya.
Seorang mahasiswa, Siti Nur Murni Saiful Anwar, 20, berkata kemudahan teknologi membantunya menyiapkan pelbagai tugasan selain meluaskan pengetahuan tanpa sempadan.
“Dengan ICT, proses pembelajaran jadi mudah dan seronok malah tidak terlalu bergantung kepada pensyarah.
“Justeru tidak timbul ICT menjadikan individu pasif. Sebagai pelajar, kami lebih tahu kepentingan pelbagai gajet ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: