
Begitulah luahan pemain skuasy nombor satu negara, Mohamad Azlan Iskandar seandainya dia bakal bertemu rakan senegara, Ong Beng Hee pada perlawanan akhir nanti.
“Siapa pun yang akan bertemu di perlawanan akhir nanti pada saya hanya yang terbaik akan menang. Pada masa sama saya berharap semua pemain negara dapat melangkah ke pusingan akhir dalam semua acara nanti.
“Bagaimanapun lebih baik tumpuan diberikan pada perlawanan peringkat pusingan terlebih dahulu daripada memikirkan soal perlawanan akhir,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan kepada pasukan skuasy ke Sukan Asia, semalam.
Pada majlis berkenaan, syarikat pengeluar barangan sukan Mizuno menaja pakaian semua pemain skuasy negara yang bertanding di temasya empat tahun sekali itu.
Azlan dan Beng Hee dijangka memiliki peluang cerah untuk berentap sesama sendiri di perlawanan akhir acara individu lelaki.
Namun saingan sengit tetap menanti Azlan juga pemegang pingat perak di Sukan Asia 2006 daripada pemain Pakistan seperti Aamir Atlas Khan dan Saurav Ghosal dari India.
Saingan hanya akan bermula 18 November ini, dengan Azlan dan Beng Hee masing-masing mendapat 'bye' di pusingan pertama untuk mara ke pusingan kedua.
Sementara itu, pemain ranking 44 dunia, Sharon Wee, yang bakal membuat penampilan untuk kali ketiga di Sukan Asia bangga dan gembira apabila terus di diber kepercayaan menggalas misi negara.
Melihat perkembangan dan peningkatan pemain muda yang bakal berentap di Sukan Asia, Sharon mengakui kehebatan pemain seperti Datuk Nicol David dan Low Wee Wern yang menjadi sandaran utama meraih pingat.
“Sudah 20 tahun saya berkecimpung dalam sukan ini dan 10 tahun bermain sebagai profesional. Jadi sudah tentu saya mengharapkan lebih ramai pemain muda akan menonjol.
“Bagi kejohanan ini nanti, saya akan bermain dalam acara berpasukan. Apa yang penting adalah percaya pada diri sendiri dan yakin ketika beraksi,” katanya.
Seorang lagi pemain skuasy wanita negara, Delia Arnold yang hanya bermain dalam acara berpasukan gembira dapat beraksi buat pertama kalinya di Sukan Asia dan berharap semua pemain dapat menyumbang mata buat pasukan wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: