Tuesday, November 9, 2010

Gunung Merapi hambur awan panas satu kilometer


DEBU Gunung Merapi memenuhi kedai-kedai dan jalan di Pekan Muntilan.


GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi masih mengeluarkan bunyi gemuruh semalam manakala awan, gas dan serpihan dihamburkan setinggi satu kilometer ke udara.

"Berdasarkan apa yang kita lihat sekarang, ia akan meletus sekali lagi pada bila-bila masa," kata seorang ahli vulkanologi Indonesia, Surono.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan menyatakan, jumlah keseluruhan kematian akibat letusan itu meningkat dari 138 orang kepada 141 orang semalam.

Peningkatan itu ekoran pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat di kawasan pergunungan.

Pemerintah Indonesia turut meletakkan bandar Yogyakarta dalam keadaan berjaga-jaga ekoran letusan yang masih belum berhenti.

Lapangan terbang di bandar itu masih ditutup semalam dan debu tebal berterbangan di udara menyebabkan penduduk sukar bernafas.

Bagaimanapun, tidak ada arahan daripada pemerintah supaya penduduk meninggalkan bandar Yogyakarta.

Beberapa kampung kecil kelihatan seperti tidak berpenghuni dengan pintu dan tingkap rumah ditutup.

Namun, terdapat pakaian yang dibiarkan di penyidai.

"Apakah pilihan yang kami ada?'' soal seorang penduduk Sukirno, 37, yang menunggang motosikal bersama isteri dan seorang anak perempuan mereka berusia lapan tahun.

Menurutnya, dia akan menetap dengan saudara-maranya yang tinggal jauh dari gunung itu kerana bimbang debu tersebut akan menjejaskan kesihatan keluarganya.

Beberapa pakar menyatakan, ancaman terbesar di bandar itu ialah Sungai Code yang mengalir ke tengah bandar tersebut dari Gunung Merapi.

Sungai itu mungkin membawa lumpur berapi yang mengalir ke sungai apabila hujan sekali gus memusnahkan apa saja benda di laluannya.

Endapan gunung berapi telah memenuhi sebuah kawasan kediaman di tebing sungai.

Hampir 280,000 orang kebanyakannya yang tinggal di cerun gunung telah mendapatkan perlindungan di pusat-pusat kecemasan. Kebanyakan penghuni pusat kecemasan itu mengadu tiada tandas dan bekalan air bersih tidak mencukupi.

Gunung Merapi itu meletus pada 26 Oktober lalu dan ia masih belum berhenti.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan penghantaran satu briged tentera untuk membantu kerja-kerja bantuan dan pembangunan semula di tengah Jawa.

Pengumuman itu dilakukan selepas Indonesia turut dilanda tsunami pada 25 Oktober lalu ekoran gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter sehingga mengakibatkan 428 orang terbunuh manakala 15,000 lagi hilang tempat tinggal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: