Tuesday, November 23, 2010

Gudang kereta seludup


LICIK...anggota polis memeriksa susunan kotak bagi mengaburi kegiatan sindiket curi kenderaan.
LICIK...anggota polis memeriksa susunan kotak bagi mengaburi kegiatan sindiket curi kenderaan.

KLANG: Satu sindiket curi kenderaan pacuan empat roda dikesan bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sebelum disembunyikan di sebuah gudang berhampiran pelabuhan di Pulau Indah, di sini.

Kereta berkenaan akan dikumpul di dalam gudang itu sebelum diseludup ke Timur Tengah melalui pelabuhan Dubai dan dipercayai semua urusan penghantaran mempunyai dokumen rasmi yang dipalsukan.

Bagaimanapun, tindakan licik sindiket itu tumpas selepas sepasukan polis yang melakukan intipan sejak beberapa minggu lalu menyerbu gudang berkenaan, kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu.

Lokasi yang terpencil berhampiran pelabuhan itu dikelilingi tembok batu serta pagar zink dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan mengesan kehadiran polis.Di dalam gudang itu pula, satu kotak kosong disusun rapi hingga ke siling dan di belakang kotak berkenaan disusun pula kenderaan berkenaan yang kebanyakan dari jenis Toyota seperti Rush, Hilux dan Fortuner.


Dalam serbuan itu, polis menemui 13 kenderaan pacuan empat roda yang kebanyakan dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang termasuk beberapa buah yang dimuatkan dalam kontena dipercayai bakal dijual ke pasaran antarabangsa.

Dua individu dipercayai anggota sindiket terbabit turut ditahan. Difahamkan, sindiket itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu serta dianggotai individu yang pakar melakukan jenayah curi kenderaan.

Menurut sumber, gudang itu dipercayai dijadikan tempat simpanan kereta curi sejak tiga bulan lalu dan aktivitinya dilakukan secara terancang bermula dari peringkat mencuri hinggalah proses pengeksportan menggunakan kapal.

Beliau berkata, sebaik kereta dicuri, ia akan dibawa ke gudang berkenaan pada waktu malam bagi mengelak dilihat orang ramai dan selepas proses dokumentasi untuk membawa keluar negara siap, kereta akan dimasukkan dalam beberapa kontena.

“Kumpulan ini adalah penjenayah profesional, mereka memasukkan tiga kereta dalam setiap satu kontena.

“Mereka juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam agensi perkapalan yang akan membawa keluar serta memasarkan kereta curi berkenaan di luar negara,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan berlaku pergelutan antara polis dengan dua suspek terbabit namun mereka berjaya diberkas.

Hasil soal siasat, mereka menunjukkan lokasi kereta curi berkenaan disembunyikan termasuk dua kereta yang sudah dimuatkan ke dalam satu kontena.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan yang ditemui ketika majlis penyerahan 124 motosikal kepada polis kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam, mengesahkan mengenai kejayaan menumpaskan sindiket terbabit.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: