Saturday, November 13, 2010

Filem baru Harry Potter dapat pujian


AKTOR Daniel Radcliffe (kiri) dan Emma Watson berbual dalam salah satu adegan filem Harry Potter and the Deathly Hallows: Part One.


LONDON - Ramai pengkritik memuji filem terbaru Harry Potter kelmarin beberapa jam selepas mereka menyaksikan tayangan perdana filem berkenaan di sini, Britain kelmarin.

Filem Harry Potter and the Deathly Hallows: Part One adalah yang pertama daripada dua buah filem yang diadaptasi daripada buku terakhir Harry Potter karya J.K. Rowling.

Beberapa akhbar dan majalah di Amerika Syarikat dan Britain menganggap filem itu 'mencemaskan' dan meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penonton termasuk perasaan hening dan sedih.

Walaupun menerima pujian kerana lebih cemas dan seram berbanding filem Harry Potter sebelum ini, kebanyakan penonton percaya bahagian kedua filem yang bakal ditayangkan pada Julai depan adalah jauh lebih hebat.

Sementara itu, ribuan peminat berhimpun di Dataran Leicester di sini kelmarin untuk melihat barisan bintang utama filem tersebut iaitu Daniel Radcliffe, 21, Emma Watson, 20, dan Rupert Grint, 22, yang melakonkan watak Harry Potter dan dua sahabat karibnya, Hermione serta Ron dalam kesemua lapan filem berkenaan.

"Kami membaca semua buku Harry Potter dan menonton semua filemnya, saya tidak ingat berapa kali, mungkin tiga atau empat kali," kata seorang peminat, Sheba Sahir, 23.

Filem pertama Harry Potter ditayangkan pada tahun 2001, empat tahun selepas Rowling menerbitkan bukunya manakala enam filem berkenaan memperoleh kutipan global AS$5.4 bilion (RM16.8 bilion) setakat ini.

Filem Harry Potter and the Deathly Hallows: Part One akan menemui peminat di pawagam seluruh dunia bermula 19 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: