
WALAUPUN tiada musim luruh atau sejuk di Malaysia, para pereka fesyen tempatan, yang baru dan yang berpengalaman, berkumpul di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk meraikan kedua-dua musim yang bermula pada setiap Oktober di hemisfera utara, bersama rekaan fesyen terbaru mereka.
Satu pertunjukan fesyen diadakan untuk menampilkan pakaian terbaru kedua-dua musim ini yang sinonim dengan warna-warna suram dan suhu yang lebih sejuk, di The Gardens Kuala Lumpur.
Acara selama seminggu itu menyaksikan jenama-jenama tersohor seperti 2201 Fashion Avenue, Calibre, Lewre Couture dan Marks & Spencer, antara yang menawarkan pelbagai stail dan rekaan bagi pelanggan tempatan.
Gaun pendek dengan aksesori seperti tali pinggang berkilau dan juga baju berjalur yang dipadankan dengan kain satin lembut panjang diperagakan di pentas.
Terrence Soo, seorang pereka fesyen menganggap pelancaran peragaan koleksi pakaian musim luruh dan sejuk di negara ini sebagai tepat pada masanya.
"Saya positif yang trend musim sekarang ini sesuai bagi rakyat Malaysia. Responsnya sudah pasti positif," kata Terrence dengan senyuman lebar semasa rekaannya diperagakan oleh peragawati dan peragawan di pentas.
Terrence menampilkan cita rasa fesyennya melalui rekaan beliau di butik miliknya, Terrenz Collection.
Ketua Pegawai Eksekutif Mid Valley City Gardens, Kuala Lumpur, Antony Barragry, meminta para pengunjung gedung itu supaya memberi ruang kepada fesyen mengikut musim. Menurutnya, ia membuka peluang bagi rekaan, warna dan idea baru.
Selain daripada warna lazim musim luruh dan sejuk, para pereka fesyen muda jelas berminat untuk menceriakan lagi musim itu dengan rekaan daripada batik merah jambu, renda hitam berlapikkan merah muda dan oren, serta gaun labuh dalam pelbagai rona seperti merah hati dan firus.
Mendapat peluang
Gillian Hung, Presiden Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (MODA) menyifatkan sambutan minggu fesyen di The Gardens sebagai memberangsangkan. Para pereka fesyen, menurutnya, mendapat peluang menimba ilmu dan pengalaman yang banyak.
Gedung membeli-belah yang menganjurkan pertunjukan fesyen seperti ini memberi peluang kepada pereka fesyen muda untuk mengutarakan idea dan menumpukan pada usaha menghasilkan rekaan dan fesyen yang sesuai dengan cita rasa orang ramai.
"Ini adalah koleksi pakaian siap dipakai dan apa yang seseorang itu pakai akan bergantung pada pelbagai kategori yang diwujudkan oleh industri. Trend fesyen itu bergantung kepada pereka fesyen dan jenama yang dibawa oleh fesyen berkenaan.
"Untuk menyediakan fesyen bagi musim tertentu, masa yang diambil pada kebiasaannya tidak kurang daripada setahun. Apa yang anda lihat pada hari ini mungkin diusahakan sejak 12 bulan yang lepas," jelas Gillian, yang juga pengarah kreatif bagi Kenanga Wholesale City.

Tambah Gillian, setiap musim fesyen akan membantu para pereka fesyen itu menampilkan warna-warna sesuai serta aspek-aspek berkaitan seperti perincian aksesori, fabrik dan keanggunan yang ia mahu tampilkan pada pemakainya.
"Terdapat tiga kategori untuk dipertimbangkan sebelum idea pereka fesyen boleh diterima. 60 peratus daripada keutamaan itu adalah pada sejauh mana hasil rekaan itu boleh dijual, selain daripada tumpuan warna musim dan gaya yang mengikut trend semasa," ulas Gillian.
Tidak kira musim apa yang mereka mahu promosikan, pelanggan yang akhirnya akan menentukan pilihan pemakaian mereka mengikut musim.
Gillian menekankan bahawa musim luruh dan sejuk bukan sekadar didominasi oleh warna-warna suram seperti hitam, putih dan kelabu tetapi boleh digandingkan dengan warna neutral dan yang lebih cerah.
Generasi semasa
Seorang pelajar, Joann Tee, mendapati bahawa rekaan fesyen bermusim ini sesuai bagi penggunaan tempatan, walaupun Malaysia tidak mengalami sebarang pertukaran musim sepanjang tahun.
"Saya suka musim luruh dan sejuk ini. Cantik dan bergaya. Sesuai untuk cuaca kita kerana fabrik yang mereka gunakan tidak terlalu tebal dan sangat anggun. Ia juga boleh dipakai semasa majlis makan malam dan juga di majlis-majlis istimewa," tambah Joann.
Seorang lagi remaja, Hazirah Abdul Rahman, berpendapat bahawa rekaan fesyen tidak mempunyai batas sempadan walaupun fokus diberikan mengikut musim.
"Selagi mereka yang memakainya berasa selesa dan cantik, tidak timbul soal bermusim atau apa jua pun. Bagaimanapun, kesopanan dan kesesuaiannya dengan majlis perlu diberi perhatian," kata Hazirah.
Nurul Huda Zakaria, yang baru menamatkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi tempatan baru-baru ini sependapat dengan Hazirah. Seleksi fesyen baginya bergantung kepada kesesuaian dan acara yang dihadirinya.
"Saya suka beli fesyen berjenama terutama apabila saya berpeluang peluang ke luar negara. Di situ, kosnya lebih murah. Itu termasuk yang diperagakan semasa musim luruh. Fabrik yang digunakan masih sesuai bagi negara kita yang cuacanya panas," tambah Nurul Huda.
"Kelihatan anggun tetapi sopan pastinya satu kemestian bagi saya apabila membuat pilihan. Tekstur fabrik juga merupakan faktor penting. Saya tidak mahu berpeluh dalam sesuatu yang terlalu tebal dalam keadaan cuaca di Malaysia," katanya yang kini bekerja di sebuah jabatan kerajan di Shah Alam.
Semuanya atas nama fesyen dan musim tidak menjadi hal. Maka, pakai sajalah apa yang anda suka walaupun tidak pernah melalui pengalaman musim luruh atau sejuk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: