Saturday, November 13, 2010

Falak Selangor makin maju


Kerjasama dan semangat berpasukan sentiasa menjadi amalan pegawai jabatan mufti negeri selangor (bahagian falak).


Pada 26 November lalu, sekali lagi media menguar-uarkan tentang program cerapan hilal atau melihat anak bulan. Tujuannya menentukan bilakah bermulanya tarikh 1 Zulhijjah.

Pastinya penentuan tarikh itu amat penting kerana selain mengesahkan bila tarikh Hari Raya Aidiladha, ia juga menentukan bilakah hari wukuf bagi jutaan jemaah haji di Mekah.

Alhamdulillah, kini Malaysia boleh berbangga kerana mempunyai institusi falaknya sendiri. Selain melihat anak bulan, fungsi falak juga sangat penting dalam menentukan arah kiblat terutama bagi kita yang berada jauh dari kaabah di Mekah.

Ilmu falak adalah satu cabang ilmu sains tabie yang mengkaji tentang perjalanan badan-badan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang.

Menurut Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, ilmu falak adalah ilmu mempelajari pergerakan tetap bintang-bintang, sama ada yang bergerak atau berpusing. Gerakan-gerakan tersebut boleh diketahui sama ada melalui cerapan atau perhitungan.

Antara institusi falak yang semakin dikenali dan aktif menjalankan fungsi jabatan itu kepada masyarakat adalah di Jabatan Mufti Negeri Selangor (Bahagian Falak) di Shah Alam.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Selangor (Bahagian Falak), Rizal Ramli berkata, sejak beroperasi pada 1 Januari 2001, pelbagai strategi dirancang dengan objektif menyelaras aktiviti falak secara sistematik.

Ia bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa selain memenuhi keperluan pelanggan.

"Bahagian ini berperanan menentu dan mengesahkan arah kiblat, melaksanakan cerapan hilal bagi penentuan awal bulan Islam.

"Kita juga turut memberi penerangan kepada masyarakat tentang isu semasa falak seperti perbezaan tarikh puasa, hari raya dan sebagainya," katanya kepada Mega, di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


kompas bagi mencari kedudukan tepat arah kiblat.


Dalam tempoh sedekad itu, antara kejayaan paling manis adalah terbinanya Balai Cerap Selangor di Sungai Lang, Parit Baru, Sabak Bernam yang mula beroperasi Ogos 2010.

Kata Rizal, balai itu akan berperanan sebagai serampang tiga mata iaitu dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pelancongan.

Dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, balai itu akan dijadikan tempat latihan amali para pelajar yang mengikuti program persijilan falak yang dimeterai dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Selain itu, memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani untuk mewujudkan program latihan dan pembangunan ilmu falak empat kali setahun.

"Dalam aspek pelancongan pula, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadikan Balai Cerap ini sebagai pusat tarikan pelancong.

"Ia dengan mengadakan operasi 24 jam termasuk mencerap bintang, planet dan sebagainya," jelas Rizal.

Bahagian Falak itu turut memperolehi pengiktirafan MS ISO 9001:2008 menjadikannya yang pertama di semua Jabatan Mufti Malaysia berkaitan prosedur penentuan dan pengesahan arah kiblat serta prosedur cerapan hilal.

Bagi memupuk kesedaran dan minat masyarakat Islam dalam bidang falak dan astronomi, beliau berkata, pihaknya menubuhkan Kelab Falak Sekolah Menengah Negeri Selangor pada September 2009.

Katanya, kelab tersebut dilancarkan pada 1 April lalu dan mendapat peruntukan RM3,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor untuk melaksanakan pelbagai aktivitinya.

"Sekolah-sekolah terlibat kita bekalkan dengan teleskop dan ini menjadi pemangkin kepada golongan remaja memahami bidang falak," tambahnya.

Pendek kata, menurut Rizal, ilmu falak kini bukan lagi hanya dikaitkan dengan melihat anak bulan Muharam, Syawal dan Zulhijjah semata-mata.

Sebaliknya, masyarakat Islam kini semakin menyedari kepentingan dan perlunya mempunyai pengetahuan tentang falak paling tidak pun untuk menentukan arah kiblat.

"Setakat ini sambutan masyarakat terhadap program-program kita amat baik. Malah ramai yang minta Bahagian Falak lebih kerap turun padang selain mendapat permintaan untuk menubuhkan lebih banyak kelab falak di sekolah-sekolah," katanya.

Menurut Rizal, antara strategi menarik minat masyarakat kepada bidang itu adalah dengan menubuhkan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor pada tahun 2007.

"Ia didaftarkan pada 1 Februari 2008 dan keahliannya terbuka kepada semua yang berminat," jelasnya.

Penglibatan Bahagian Falak bukan hanya diakui dalam negara malah turut melibatkan inisiatif penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Antaranya, Ekspedisi Kajian Gerhana Matahari di Pantai Anyer, Indonesia tahun lalu selain di Ghangzhou, China dan kepulauan Maldives (tahun 2010).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: