Sunday, November 21, 2010

Elyana- Khairul Terkejut dan Terharu Dinikahkan Bapa

Emrizal Shamsuddin (kiri) sedang menjalankan upacara akad nikah

KUALA LUMPUR: Pasangan pengantin baru, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal, 23, dengan pasangannya Khiarul Anuar Husin, 35, terkejut dan berasa terharu apabila pernikahan dilakukan sendiri oleh bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin.

Menurut Elyana, perancangan awal akad nikah ini dilakukan oleh Imam Masjid Al-Akram, Kg Datuk Keramat, namun dia terkejut apabila bapanya tampil mengambil tanggungjawab tersebut pada saat-saat akhir.

“Saya tidak tahu yang bapa saya yang akan menikahkan saya sebab perancangan awal ialah imam yang akan melakukannya. Malah sebelum ini kakak saya juga dinikahkan oleh imam.

“Saya terharu dan sangat kerana ini adalah hari paling indah bagi saya,” jelas Elyana.

Pasangan ini selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada pukul 9.40 malam di Duchess Place, Jalan Ampang, di sini, Jumaat.

Manakala suaminya, Khairul memberitahu perasaan gementar dan takut apabila berhadapan dengan bapa mertuanya ketika upacara akad nikah dilakukan.

“Sudah tentu perasaan berdebar saya lebih apabila melihat bapa mertua sendiri yang melakukannya. Namun begitu saya rasa bangga dan bersyukur kerana semua berjalan lancar,” ujarnya yang mengakui mudah berasa gemuruh.

Sementara itu, Emrizal ketika ditemui mengakui turut gementar kerana kali pertama menikahkan anaknya.

"Saya juga terkejut kerana ini kali pertama menikahkan anak, sebelum ini kakak Elyana dinikahkan oleh Imam.

"Tapi atas nasihat imam agar pernikahan ini lebih afdal apabila dilakukan sendiri oleh bapa, saya ambil tanggungjawab tersebut," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang perancangan selepas ini, Elyana memberitahu mereka akan meneruskan kehidupan seperti biasa dengan kerjaya masing-masing.

Dia juga mengakui komitmen utama selepas ini ialah tanggungjawab terhadap keluarganya.

“Khairul tidak menghalang saya untuk terus menyanyi atau berlakon, jadi saya akan teruskan kerjaya saya selagi ia tidak manjejaskan perhatian terhadap keluarga.

“Namun jika sudah mempunyai anak kelak saya mungkin akan lebih mengutamakan mereka dari kerjaya,” katanya selepas upacara akad nikah, Jumaat.

Jelas Elyana, perancangan untuk berbulan madu masih lagi belum dibuat memandangkan terlalu hampir dengan cuti sekolah.

“Kami tidak fikir lagi memandangkan akhir tahun banyak cuti termasuk cuti sekolah, kalau boleh kami tidak mahu sama dengan cuti sekolah. Insya-Allah mungkin Januari atau Februari tahun hadapan untuk berbulan madu.

“Lokasi belum ditentukan juga, kalau boleh tempat tersebut ada tempat bersejarah dan membeli belah kerana tidak terlalu bosan jika di pantai dalam tempoh yang panjang,” ujarnya yang berhasrat untuk berbulan madu di Mesir.

Ketika ditanya tentang anak pula, pasangan tersebut memberitahu tidak pernah merancang malah menerima jika dikurniakan dalam masa terdekat.

"Kami tidak pula merancang kerana orang tua-tua cakap tak elok kalau terlalu merancang. Jadi sekiranya ada rezeki, kami terima dengan tangan terbuka. Lagi pun umur suami saya sudah 35 tahun, lebih baik kami dapat anak awal supaya dapat membesarkannya bersama,"

Majlis persandingan pihak lelaki akan berlangsung pada minggu hadapan di Mentakab, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: