PANTAI REMIS – Seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Matang Acheh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Che Omar Ahmad, 58, dan anaknya Saiful Che Omar, 25, cedera di beberapa bahagian badan, kepala dan kaki.
Mereka dimasukkan ke Hospital Seri Manjung dekat sini.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku apabila mangsa bersama enam anggota keluarga lain yang sedang tidur menyedari rumah mereka dimasuki orang.
Katanya, tiga suspek berkenaan yang memakai topeng muka telah mengumpil salah sebuah tingkap di bahagian dapur sebelum salah seorang masuk melalui tingkap ke dalam rumah itu.
“Suspek yang masuk melalui tingkap itu kemudian membuka pintu rumah bagi membolehkan dua suspek lain masuk,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Katanya, kehadiran penceroboh itu disedari Saiful yang terus bergelut dengan ketiga-tiga suspek itu di ruang tamu rumah.
Pergelutan antara Saiful dan suspek-suspek itu menyebabkan ayahnya tersedar dan datang membantunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: