![]() |
| LEE CHIEN NA |
ACARA Golden Horse Film Awards ke-47 yang berlangsung pada 20 November lalu di Taoyuan, utara Taiwan sama tinggi prestijnya dengan anugerah Oscar di Hollywood, tetapi bezanya ia khas untuk filem-filem yang menggunakan bahasa Cina seperti Mandarin, Kantonis dan sebagainya.
Tahun ini penggiat filem Taiwan mendominasi senarai pemenang. Pengarah filem Taiwan, Chang Tso Chi memenangi anugerah bagi Filem Terbaik menerusi filem When Love Comes.
Filem arahannya itu turut menerima 14 pencalonan dan memenangi dua anugerah teknikal.
Pengarah Chung Mong Hong juga dari Taiwan, menerima anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem The Fourth Portrait mengalahkan Chang Tso Chi dan pengarah Hong Kong, Teddy Chen yang mengarah filem pecah panggung, Bodyguards and Assassins.
Filem The Fourth Portrait yang menyentuh tentang masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak dan pelacuran turut menerima anugerah bagi Filem Taiwan Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang diterima oleh aktres Hau Lei.
Mengejutkan banyak pihak filem Teddy Chen, Bodyguards and Assassins, hanya membawa pulang satu anugerah sahaja iaitu Solekan dan Kostum Terbaik sedangkan filem arahannya merupakan filem yang digemari oleh ramai pengkritik filem.
Bekas model terkenal Taiwan, Ethan Juan menewaskan tiga aktor veteran apabila dia dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Monga.
Pelakon asal tanah besar China, Lu Li Ping, membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan berkesannya sebagai ibu tunggal dalam filem City Monkey.
Kemenangannya itu sekali gus menewaskan tiga pelakon wanita terkenal yang lain iaitu Tang Wei dan Xu Fan (China), serta pengarah dan pelakon Taiwan, Sylvia Chang.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik juga jatuh ke tangan pelakon Taiwan, Wu Peng Fon menerusi filem komedi Seven Days in Heaven.
Filem Spring Fever yang merupakan filem cinta golongan homoseksual memenangi anugerah Suntingan Terbaik serta Skor Filem Asal Terbaik.
Pakar seni mempertahankan diri dari Hong Kong yang juga seorang pelakon terkenal, Sammo Hung memenangi anugerah untuk kategori Koreografi Aksi Terbaik iaitu untuk filem Ip Man 2.
Lebih daripada 30 buah filem telah dicalonkan dalam festival filem edisi ke-47 itu. Pemenang dipilih oleh barisan juri yang sama untuk Festival Filem Cannes.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: