Saturday, November 6, 2010

Ditahan miliki senapang angin


MOHD. SABRI (tengah) mendengar taklimat yang diberikan oleh pegawainya mengenai senapang angin yang dirampas daripada lima lelaki pada sidang akhbar di Bahau, Negeri Sembilan semalam.


BAHAU – Hasrat lima sekawan untuk memburu ayam hutan dengan menggunakan senapang angin buatan sendiri tidak kesampaian apabila mereka ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Raja Alias, Jempol di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kesemua suspek yang berusia di antara 21 dan 50 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam Rabu lalu di Kilometer 4, Lebuh Raya Bahau-Keratong berhampiran Felda Raja Alias 4 di sini.

“Sebaik diarahkan berhenti, polis yang melakukan pemeriksaan menjumpai lima laras senapang angin di dalam beg galas yang dibawa oleh kelima-lima lelaki terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, selain senapang, pihaknya turut merampas sebilah parang dan pisau serta hampir 200 bebola besi dan batu timah yang dipercayai hendak digunakan sebagai peluru.

Menurut Mohd. Sabri, soal siasat mendapati ketika ditahan suspek dari Jempol itu dalam perjalanan untuk memburu ayam hutan di satu kawasan ladang kelapa sawit berhampiran dengan menggunakan senjata itu.

“Senjata tersebut mampu menembak dua bebola besi pada satu-satu masa. Kelajuannya boleh mencapai sehingga 50 meter serta boleh mengakibatkan kematian jika mengenai sasaran,” katanya yang memberitahu kesemua suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment