Thursday, November 18, 2010

Diana, Lina pinjam semangat Tun Fatimah

KEMBAR SEKSI...Lina (busana hitam) dan Diana persis model.
KEMBAR SEKSI...Lina (busana hitam) dan Diana persis model.

MEREKA sama cantik, sama menawan. Malah ketika mereka berdua muncul pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23), tidak lama dulu, ramai tetamu keliru - mana satu Diana, mana satu Lina?

Dengan beza usia empat minit saja, pasangan kembar seiras itu akhirnya diundang ke Balai Berita, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menjayakan satu sesi fotografi bagi tatapan pembaca Rap.

  • Foto

  • Foto

Ternyata Nordiana Johor Zainal Abidin atau mesra dengan panggilan Diana Johor dan adiknya, Norlina Johor (Lina) yang kedua-dua berusia 28 tahun begitu mesra bergambar dan bercerita mengenai per�kembangan terbaru mereka.

Meskipun minat bidang seni, Diana dan Lina mewarisi bakat ibu bapa mereka yang handal menjalankan perniagaan.Selain memiliki syarikat produksi sendiri, Unique Twins Sdn Bhd yang beroperasi kira-kira setahun lalu, mereka juga bertindak selaku Pengarah Hotel Pelangi di Muar, Johor dan Pelangi Balau Resort di Tanjung Balau Desaru, Johor.

Perusahaan perhotelan yang diusahakan itu adalah perniagaan milik keluarga mereka.

Diana yang memiliki Ijazah Ekonomi dan Kewangan daripada Universiti Curtin, Perth, Australia berkata, dia dan adik kembarnya, Lina cenderung menceburi perniagaan kerana pendedahan keluarga sejak usia kecil. Katanya, bisnes adalah legasi keluarga mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Perniagaan hotel kami itu sebenarnya milik ibu (Nor Aishah Abas, 54). Bagaimanapun, memandangkan kami adik-beradik sudah dewasa dan boleh belajar menguruskannya, tanggungjawab itu mula kami pikul bersama. Saya, Lina dan kakak sulung kami ada peranan masing-masing dalam memajukannya.

“Justeru, tak dinafikan jadual kami memang sibuk. Macam saya, bukan saja perniagaan perlu diberi keutamaan, tetapi karier lakonan juga. Ditambah, tawaran berlakon pun semakin ligat dan kalau tiada aral pada 23 November ini saya akan terbabit penggambaran drama Tanah Keramat.

“Drama bersiri arahan Mat London ini adalah untuk Astro Citra (Saluran 131). Bukan itu saja, bulan depan pula saya kemungkinan terbabit dengan Muzikal Tun Mahathir 2 di Istana Budaya (IB). Pementasan kali kedua ini diadakan kerana sambutan baik daripada penonton.

“Daripada apa yang saya tahu, masih ramai yang tak berpeluang menyaksikan pementasan teater ini kerana kehabisan tiket. Jadi, barangkali tidak mahu menghampakan penonton yang berminat dan sentiasa memberi sokongan, teater Muzikal Tun Mahathir akan dipentaskan lagi,” kata Diana yang juga adik ipar Jejai (bekas suami Nora Danish).

Mesra berbicara, sekilas pandang memang sukar untuk mengecam antara Diana dan Lina. Lebih-lebih lagi, apabila kedua-duanya disolek dengan gaya yang sama pada sesi fotografi diadakan, kelmarin. Mujur warna pakaian mereka berbeza iaitu Diana menggayakan busana hijau manakala Lina, hitam.

Lina yang asyik menguntum senyum di bibir, kelihatan ayu. Kelembutan seorang wanita terserlah pada wajahnya, tetapi realiti sebenar, ibu kepada seorang anak ini sangat meng�gemari aktiviti lasak. Bahkan, Lina adalah bekas pelumba Program Pencarian Pemandu Wanita Pasukan Redbull.

Menurut Lina, sejak kecil lagi dia memang sukakan aktiviti lasak. Malah, dia dan Diana turut memasuki kelas seni mempertahankan diri, taekwondo ketika di alam persekolahan dulu. Tanpa berselindung, Diana pula berkata dia pernah malu kerana tewas bertarung taekwondo di tangan Lina.

“Lina, nampak saja bertubuh kecil, tetapi jiwanya besar. Saya malu juga sebab kalah pada Lina atas status seorang kakak. Sebaliknya, pada masa sama saya sangat bangga ada seorang adik yang ‘gagah’. Bagi kami, wajar seorang wanita menguasai seni pertahankan diri,” kata Diana.

Ujar Lina, sekarang wanita selalu menjadi mangsa penjenayah. Jadi, dengan adanya seni mempertahankan diri mereka lebih yakin. Bukan riak tapi tidak salah meminjam sedikit semangat Tun Fatimah.

“Tak kisah sama ada belajar silat, judo, karate atau apa saja, asalkan seni pertahankan diri. Apapun, saya bertuah kerana mendapat suami yang ada minat sama dalam sukan lasak dan begitu memahami.

“Oleh itu, kalau ada masa lapang saya, suami dan anak (Kifaayat Putra Mohd Julian, 5) akan berkunjung ke litar Sepang atau Pasir Gudang untuk berlumba kereta. Saya suka berlumba kerana memang minat kereta. Lagipun, apabila dengar bunyi kenderaan bising boleh hilang tekanan. Pelik bukan?

“Sekalipun sudah berkeluarga, ia tak pernah menghalang saya untuk terus aktif dengan sukan lasak. Berbanding Diana, saya dapati minatnya lebih cenderung pada seni seperti menari dan berlakon. Bahkan, di sekolah dulu Diana pernah menang anugerah pelakon terbaik dalam teater.

“Apapun, Diana lebih suka aktiviti menyelam di dasar laut. Jadi, secara tidak langsung apa yang boleh dikatakan minat kami kebanyakannya sama. Mungkin, naluri kembar itu yang dapat merasai antara satu sama lain. Namun, yang pasti kami saling memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya.

Diana dan Lina mula terbabit dalam lakonan pada usia 14 tahun menerusi drama Mas Maria. Malah, ketika aktif dulu, Lina pernah membintangi beberapa drama seperti Sekam dan Putar Alam. Selain itu, Lina dan Diana juga muncul dalam MTV Asia, program MTV Is My Live mewakili negara.

Memiliki ijazah dalam bidang perhotelan di Australia, Lina berkata setakat ini, syarikat produksi mereka baru menghasilkan dua telefilem, Hana Hani Coklat Strawberi untuk Astro dan Keras (TV3). Katanya, biarpun masih mula menapak, tetapi tidak sangka mereka diterima baik dalam industri.



PROFIL
NAMA: Norlina Johor Zainal Abidin
PANGGILAN KOMERSIAL: Lina Johor
USIA: 28 tahun
KARIER: Pengarah Hotel Pelangi, Johor, pelakon dan pelumba kereta
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
ASAL: Johor
STATUS: Berkahwin
ANAK: Kifaayat Putra Mohd Julian, 5
DRAMA: Antaranya Mas Maria, Sekam, Putar Alam dan Hana Hani Cokelat Strawberi
PENDIDIKAN: Ijazah dalam bidang perhotelan di Australia
PENCAPAIAN: Bekas pelumba Program Pencarian Pemandu Wanita Pasukan Redbull


PROFIL
NAMA: Nordiana Johor Zainal Abidin
PANGGILAN KOMERSIAL: Diana Johor
USIA: 28 tahun
KARIER: Pengarah Hotel Pelangi, Johor, pelakon dan model iklan komersial
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
ASAL: Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Ramelle Ashram Ramli, 32
DRAMA: Antaranya Mas Maria, Sembilu, Astana Idaman, Hana Hani Cokelat Strawberi dan Tanah Keramat
PENDIDIKAN: Ijazah Ekonomi dan Kewangan dari Universiti Curtin, Perth, Australia
IKLAN TV: Banyak, antaranya minyak masak Aliff

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: