Thursday, November 18, 2010

Cedera seluruh badan




KULIT tubuh mereka dipenuhi dengan parut-parut yang setiap satunya mencatat sejarah tersendiri. Itu bukti secara visual bahawa kerjaya mereka sangat berisiko sehingga menggadai nyawa. Mereka yang dimaksudkan ialah golongan pelakon lagak ngeri atau ringkasnya, pelagak ngeri.

Boleh dilabelkan sebagai pelakon belakang tabir, fungsi mereka sangat penting dalam melancarkan proses pembikinan sesebuah naskhah lakonan, khususnya genre aksi.

Jika di layar kaca atau layar lebar, karakter hero terutamanya dilihat beraksi hebat, namun sebenarnya kehebatan itu disuntik hasil kerja keras pelagak ngeri.

Kerjaya pelagak ngeri atau lebih dikenali dalam industri perfileman global sebagai stuntman itu terbahagi kepada beberapa kategori seperti aksi pertarungan, perlumbaan kereta dan letupan, terjunan tinggi dan sukan ekstrem.

Yank Kassim, Lan Muar dan Razib merupakan tiga individu yang sangat sinonim dengan rutin kehidupan pelagak ngeri.

Yank Kassim atau nama sebenarnya Yusuf Mohamed Kassim memulakan karier sebagai pelakon pada tahun 1989.

Namun disebabkan minat yang mendalam, bermula pada 1995, dia kemudian menceburkan diri sebagai pelakon lagak ngeri dan sehingga kini dia turut bertindak sebagai penyelaras lagak ngeri atau stunt coordinator.

Menurut Yank, 43, walaupun telah mengalami pelbagai kecederaan termasuk yang sehingga boleh meragut nyawanya, namun dia masih tidak berputus asa dalam meneruskan kerjaya yang tidak semua orang mampu melakukannya.


YANK KASSIM turut membintangi filem 2 Alam yang mula ditayangkan di pawagam pada hari ini.


“Apa yang penting dalam kerjaya ini ialah aspek keselamatan, disiplin dan teknik dalaman serta luaran.

“Jika kita gagal mematuhi aspek-aspek ini ia mungkin akan menyebabkan kemalangan yang boleh meragut nyawa,” jelasnya yang mengikuti kursus lakonan melalui pos, tetapi kemudian mempelajari ilmu lagak ngeri menerusi buku-buku luar negara tentang lagak ngeri.

Tambahnya yang pernah berlakon selain menjadi pelagak ngeri untuk filem Hollywood, Anna and The King, hampir keseluruhan tubuhnya pernah mengalami kecederaan akibat aksi babak ngeri yang membabitkan dirinya.

“Kalau nak cerita terlalu banyak kecederaan dan parut pada tubuh saya akibat daripada pekerjaan saya ini. Tetapi saya seronok dan dapat kepuasan apabila dapat melakukan aksi lagak ngeri.

“Bidang ini juga telah membawa saya berlakon dalam filem antarabangsa melalui lakonan dan lagak ngeri filem Skyline Cruiser di Hong Kong, filem Hindustan atau Bollywood, Don dan filem India Selatan atau Kollywood, 1977- The History Re-Written,” ujarnya yang merupakan pemilik syarikat yang menyediakan kru pelagak ngeri, Yank Kass Stun Master.

Lupa segala kecuali Allah

Bagi Lan Muar atau nama sebenarnya Roslan Zainuddin, 42, yang merupakan pelagak ngeri untuk aksi berkereta, dia akan melupakan segalanya kecuali Allah sebelum melakukan adegan dalam kereta terutamanya yang membabitkan aksi lompatan kereta.


RAZIB masih gigih menjadi pelagak ngeri biarpun pada usia 50 tahun.


Lan Muar yang pernah patah beberapa anggota badannya kerana melakukan aksi tersebut mengakui, dia terpaksa melupakan isteri, anak-anak dan keluarga yang lain buat sementara waktu untuk memberikan fokus sepenuhnya.

“Pada kebiasaannya saya akan mengambil masa beberapa minit sebelum beraksi bagi memfokus sepenuhnya kepada sesuatu adegan membabitkan lagak ngeri.

“Selepas membuat perkiraan tentang lompatan dan semua kru telah bersedia, saya hanya mampu berserah kepada Allah kerana Dia sahaja yang akan menentukan nasib kita,” ujarnya.

Tambah Lan Muar, setiap adegan aksi yang dia lakukan perlu dibuat perkiraan terlebih dahulu sebelum adegan tersebut dijalankan.

“Sebagai contoh, bagi adegan kereta melompat dan meletup, petrol dalam tangki kereta yang digunakan harus cukup-cukup untuk membuat lompatan sahaja.

“Kami perlu berbuat sedemikian kerana bimbang petrol itu akan menjadi punca letupan yang kami tidak jangka apabila bercampur dengan bahan letupan untuk babak ngeri terbabit,” jelasnya.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang lagak ngeri, katanya, dia pernah terbabit untuk satu adegan filem India, Cash yang melakukan penggambaran di sekitar Bukit Ampang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia berpeluang menjadi pelakon pelagak ngeri filem itu yang perlu menjayakan aksi kereta terbang yang berpusing-pusing sebelum terbalik.

“Sebelum melakukan aksi itu saya dan kru filem itu telah melakukan persiapan yang sepatutnya seperti menentukan lokasi tempat untuk kereta melompat.

“Selain itu, kami juga telah memodifikasi dalaman kereta itu yang ditambah dengan besi agar bumbung kereta tidak remuk ketika terbalik.

“Kami juga akan menukar tempat duduk kereta itu kepada jenis bucket seat. Perkara ini adalah untuk menjamin keselamatan pelagak ngeri sebelum memulakan aksi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Razib atau nama sebenarnya Mohd. Razib Salimin, biarpun usianya kini mencecah 50 tahun, namun dia juga sehingga kini masih melakukan aksi lagak ngeri.

Dia yang banyak terbabit dengan lagak ngeri membabitkan letupan, memberitahu, banyak perkara perlu diperiksa dengan teliti sebelum melakukan sesuatu adegan lagak ngeri termasuk dari aspek dalaman dan luaran pelakon lagak ngeri terbabit

“Bukan sahaja dari segi luaran sahaja kami akan periksa. Pada kebiasaannya, sesiapa yang akan melakukan aksi lagak ngeri harus memeriksa lelangit pada bahagian dalam mulut mereka.

“Jika rasa seperti biasa maknanya dia boleh melakukan adegan itu. Jika dia merasakan luar biasa maknanya dia tidak dibenarkan melakukan adegan tersebut kerana pada kebiasaannya jika dia buat juga mungkin dia akan berhadapan dengan kemalangan.


PAKAR lagak ngeri babak letupan, Lan Muar pernah patah pada beberapa bahagian tubuhnya.


“Selepas melakukan pemeriksaan itu kami akan berserah kepada Allah,” beritahunya yang pernah mengalami kecederaan apabila kulit pada bahagian pergelangan kakinya terkoyak akibat aksi lompatan dari jetski dalam filem Castello.

Razib turut menekankan akan kepentingan untuk mencari pelapis pe lagak ngeri tempatan, namun tegasnya, individu yang berminat perlu mematuhi beberapa syarat seperti tidak mengambil dadah, arak dan berfoya-foya.

“Ada beberapa lagi syarat tetapi ketiga-tiga syarat itu adalah yang paling utama kerana ketika melakukan adegan aksi seseorang itu harus fokus.

“Perkara-perkara itu perlu dielakkan ketika membuat aksi kerana ia akan membuatkan mereka hilang fokus,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: