![]() |
| |
BAGI yang menggemari larian lasak, perlumbaan di atas trek, taman atau jalan raya pasti dirasakan cukup mudah dan membosankan kerana laluannya yang rata dan tidak berhalangan.
Perlumbaan Genting Trailblazer 2010 sebaliknya menjanjikan senario berbeza di mana peserta diuji ketahanan fizikal dan kekuatan mental dengan larian pada ketinggian 1,000 meter dari paras laut di hutan sekitar Genting Highlands.
Perlumbaan merentasi hutan berusia lebih 130 juta tahun di Awana Genting Highlands Golf & Country Club itu kini menjadi acara wajib yang mengisi kalendar penggemar larian lasak setiap tahun.
Menurut Timbalan Presiden Bahagian Pemasaran Genting Malaysia Berhad, Chow Wei Heng, sejak edisi pertamanya diperkenalkan pada tahun 2005, Genting Trailblazer mendapat sambutan hangat bukan sahaja daripada peserta tempatan, malah turut disertai peserta luar negara.
Katanya, trek laluannya yang mempunyai persekitaran segar adalah faktor penarik kepada Genting Trailblazer 2010 kerana memberi peluang kepada para peserta untuk meneroka kepelbagaian flora dan fauna di hutan tropika itu.
"Untuk edisi keenam ini, bilangan permohonan yang ingin menyertai Genting Trailblazer 2010 meningkat sehingga mencecah 2,000 permohonan dari seluruh tanah air termasuk dari negara-negara luar seperti Singapura, Thailand dan Kenya.
"Bagaimanapun, bilangan penyertaan dihadkan mengikut kuota demi keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
"Pada tahun ini juga pihak kami mengumumkan penutupan pendaftaran lebih awal dan terpaksa menolak sebahagian daripada permohonan," katanya.
Berbanding siri-siri terdahulu yang hanya menawarkan cabaran berpasukan iaitu 'Adventure', Genting Trailblazer 2010 kali ini menampilkan kelainan apabila pihak penganjur memperkenalkan cabaran 'Cross Country'.
Cabaran itu merupakan acara perseorangan tanpa halangan yang melibatkan larian merentasi denai hutan dan bukit sejauh 12 km bagi lelaki dan 6 km bagi wanita yang disertai kira-kira 403 peserta.
Seperti dijangkakan, cabaran 'Cross Country' kategori terbuka lelaki dan wanita didominasi pelari Kenya apabila Peter Wanjiru dan Rose Jepkemboi Chesire memenangi tempat pertama dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,500 serta hadiah iringan.
Kategori veteran lelaki pula dimenangi peserta negara, Goh Choon Aun manakala kategori veteran wanita dimenangi Shirlyn Tay dari Singapura.
Bagi kategori junior lelaki, peserta muda Thailand, Thirawat Sengsok berjaya mengenepikan saingannya yang lain manakala kategori junior wanita dimenangi peserta negara, Emily grace Cherrie.
Perlumbaan turut menjadi kenangan manis buat penulis apabila berjaya menduduki tempat ketiga bagi kategori media lelaki. Peserta dari akhbar The Star, Uu Ban Leong menjuarai kategori tersebut manakala Syida Lizta Amirul Ihsan dari New Straits Times juara bagi kategori media wanita.
Cabaran tradisi iaitu 'Adventure' yang diadakan pada hari berikutnya pula menyaksikan 500 pasukan telah mengambil bahagian untuk merebut kejuaraan.
Dalam cabaran itu, setiap pasukan yang dianggotai dua peserta dikehendaki berlari sejauh 14 kilometer (km) sambil menempuh pelbagai halangan seperti laluan berlumpur, parit sedalam lima kaki, benteng jaringan serta cerun curam yang memerlukan mereka berlari, memanjat dan merangkak.
Cabaran 'Adventure' berakhir dengan gandingan peserta tempatan, Jasni Khairil Jamaluddin dan peserta Morroco, Ahmad Lamchannar muncul sebagai juara kategori lelaki dan membawa pulang wang tunai RM8,000 serta hadiah iringan.
Bagi kategori wanita, pasangan Tan Lee Chin dan Cheah Mei Mei berjaya memenangi hadiah tempat pertama yang juga wang tunai RM8,000 dan hadiah iringan.
Sementara itu, pasangan Goh Choon Ang dan Lucy Karimi Mugambi mengungguli kategori campuran manakala pasangan Alam Shah Ismail Ahmad dan Silahuddin Salim menjuarai kategori veteran.
Berlangsung selama dua hari pada 30 dan 31 Oktober lalu, perlumbaan Genting Trailblazer 2010 yang memasuki tahun keenam usia berjaya menghimpunkan kira-kira 1,403 penggemar larian lasak dari segenap ceruk tanah air.
Pada perlumbaan itu juga, turut diadakan majlis pelancaran Kawasan Pemuliharaan dan Perlindungan Habitat Burung (IBA) oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit yang mengiktiraf kawasan hutan Awana Genting Highlands Golf & Country Club sebagai kawasan habitat burung yang ke 10 (MY10) di Malaysia.
Acara anjuran bersama Kumpulan Genting dan Malaysian Nature Society (MNS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kumpulan Genting dalam memupuk kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan alam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: