Tuesday, November 9, 2010

Cabaran Besar Urus Pesakit AIDS/HIV

MELIHAT penderitaan pesakit AIDS/HIV terutama yang merana akibat disisih keluarga telah membuatkan Pengasas Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Muhamad Abdullah nekad menubuhkan sebuah tempat perlindungan untuk golongan tersebut.

Katanya, setiap yang hidup sebagai hamba di muka bumi tidak akan terlepas daripada membuat dosa dan kesilapan, begitu jugalah penghuni-penghuni Darul Ukhuwah yang pernah terjebak dengan perkara tidak baik.

“Tidak kiralah agama apa sekali pun yang dianuti, kesilapan sebesar zarah atau dosa yang maha besar tetap akan dibalas dengan hukuman setimpal. AIDS dan HIV adalah salah satu hukuman dan peringatan supaya mereka bertaubat,” katanya kepada Mingguan mStar.

Bersimpati dengan nasib pesakit AIDS/HIV yang tersisih, beliau dan beberapa rakan terpanggil untuk membantu golongan yang sememangnya wajar diberi bantuan ini.

Muhamad b Abdullah

Menurut Muhamad yang pernah dipanggil memberi ceramah kepada pesakit-pesakit HIV yang terbiar dan dijaga oleh pihak gereja sebelum menubuhkan Darul Ukhuwah, beliau difahamkan pihak gereja menghabiskan RM470,000 setahun untuk melancarkan operasi membantu golongan yang sama.

“Kita masih baru. Sudah tentu agak terhad untuk menyaingi program yang telah mereka atur dan buat sejak sekian lama. Tapi saya bersyukur dengan apa yang ada. Semoga satu hari nanti Darul Ukhuwah mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik,” katanya optimis.

Cabaran yang perlu dihadapi tidak terhenti begitu sahaja kerana dugaan turut datang daripada penghuni-penghuni sendiri.

“Mereka hilang semangat bila tahu mereka ada HIV. Cabaran paling besar ialah untuk pulihkan semangat mereka.

“Ada di antara mereka mempunyai latar belakang gelap. Satu cabaran juga untuk membiasakan mereka dengan program agama,” katanya.

Walau berbeza sejarah dan latar belakang diri, setiap penghuni tidak akan terlepas daripada melakukan aktiviti yang telah disusun oleh rumah perlindungan

Mengenai sikap keluarga yang membuang terus ahli keluarga yang menghidap HIV dan stigma masyarakat terhadap golongan tersebut, Darul Ukhuwah bersama Yayasan al-Ijabah mengambil inisiatif mengadakan program kesedaran tentang mengapa golongan ini perlu dibela.

Kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dilakukan bagi melatih mahasiswa supaya peka dengan kebajikan umat Islam dan membiasakan diri berkhidmat demi agama.

“Kita juga akan buat program dengan ahli keluarga bagi menghilangkan tanggapan negatif mereka pada golongan ini. Sebab itu Darul Ukhuwah menggalakkan ahli keluarga atau sanak-saudara melawat penghuni-penghuni,” katanya.

Muhamad juga mempunyai prinsip dan pegangannya sendiri dalam mengendalikan rumah perlindungan yang sentiasa diuji dengan pelbagai ujian ini.

“Kadang-kadang, kita pun terasa agak lemah semangat untuk melangkah. Jadi ia dikuatkan dengan hadis mengenai ganjaran besar bagi orang yang membantu dan membebaskan golongan Riqab iaitu orang yang terhamba diri mereka,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Di Selangor, pesakit AIDS/HIV diisytiharkan sebagai golongan Riqab oleh MAIS. Hadis mengenai golongan Riqab ini telah ditampal di dinding rumah Darul Ukhwah sebagai pembakar semangat kepada sesiapa sahaja yang sama-sama membantu.

Masalah pekerja, sukarelawan

Muhamad menjelaskan beliau membandingkan Darul Ukhuwah dengan gereja memandangkan kedua-duanya menjalankan operasi dengan matlamat yang sama.

Ini ada kaitannya dengan masalah Darul Ukhuwah yang sukar mendapatkan pekerja dan sukarelawan kerana tidak ramai yang ingin bersama-sama dalam usaha dan kerja kebajikan ini.

“Gereja lebih mudah mendapat sukarelawan termasuklah dari luar negara untuk menjaga pesakit HIV dalam tempoh tertentu.

“Kita banyak iklankan kerja kosong. Tapi bila mereka dapat tahu kena kerja dengan pesakit HIV, mereka batalkan hasrat itu.

“Pokok pangkalnya ialah hati. Kalau ada yang ikhlas mahu buat kerja ini, tanpa pengetahuan dan kemahiran pun mereka mampu buat dengan baik,” katanya.

Muhamad juga melihat penubuhan Darul Ukhuwah sebagai cabaran paling besar terhadap beliau dan rakan-rakan.

“Walaupun rumah ini menjadi rumah pertama khusus untuk pesakit HIV yang sebatang kara berteduh, saya tak pernah menganggapnya sebagai kejayaan.

“Saya lebih memikirkan cara untuk kekalkan kelancaran operasi dan mencari pelapis yang dapat meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Tak perlu takut dengan pesakit HIV

Rosnani Ibrahim

“Saya tak pernah rasa takut dengan pesakit HIV dan saya memang suka buat kerja amal, sebab itulah saya di sini,” kata Penyelaras Program Rumah Perlindungan HIV Ukhuwah, Rosnani Ibrahim.

Tidak pernah terfikir tentang risiko yang dihadapi apabila setiap hari perlu berdepan dengan pesakit-pesakit AIDS/HIV, Rosnani yang telah berkhidmat di situ lebih setahun sentiasa berfikir positif.

“Saya berkongsi pinggan mangkuk dengan mereka. Saya juga turut serta dalam aktiviti dan program yang melibatkan mereka.

“Mengapa perlu takut sebab HIV tak berjangkit dengan mudah. Ramai jururawat beritahu saya banyak lagi virus lain yang mudah berjangkit dibandingkan HIV,” katanya, serius.

Beruntung kerana keluarga tidak pernah membantah, Rosnani berkata masyarakat harus faham bagaimana penyakit ini menjangkiti orang lain.

Beliau turut bangga kerana mampu berkhidmat dan membantu golongan tidak bernasib baik termasuklah pesakit AIDS/HIV yang tersisih.

“Mereka adalah insan yang sedang berdepan dengan ujian dan musibah.

“Apa yang dapat saya belajar, tak semua penagih ‘diberi’ penyakit ini dan tak semua orang sanggup untuk berdepan dengan mereka setiap hari,” katanya.

Beberapa program telah dianjurkan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap keperluan membantu golongan ini termasuklah Simposium Jangan Tinggal Daku iaitu program kerjasama dengan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Hari Terbuka Jangan Tinggal Daku dengan kerjasama Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh dan Hi-Tea Amal Aidilfitri bersama Pusat Hemodialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Siapa mahu bantu kalau bukan kita?

Aishah Ahmad, 70, yang berkhidmat membantu memantau kelancaran operasi rumah perlindungan ini menganggap khidmat yang diberikannya sebagai amal jariah.

Tanpa dipaksa sesiapa untuk berkhidmat di sini, lama-kelamaan Aishah mesra dan berhubungan erat dengan penghuni-penghuni Darul Ukhuwah.

“Saya anggap mereka sebagai anak angkat. Kalau mereka buat salah saya tegur dan bagi nasihat. Tak pernah saya rasa takut-takut dengan penyakit mereka. Bukan cakap besar, tapi saya serah semuanya kepada takdir.

Saya selalu fikir, kalau bukan kita yang bantu mereka, siapa lagi?,” katanya.

Walaupun menerima saguhati daripada MAIS setiap bulan, namun bukan itu yang diharapkan Aishah sebaliknya beliau lebih memikirkan nasib pesakit-pesakit yang hilang tempat bergantung terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: