Thursday, November 4, 2010

Bkay tinggalkan bidang guaman

CABARAN...Bkay (kanan) dalam satu adegan filem Ratu.
CABARAN...Bkay (kanan) dalam satu adegan filem Ratu.

MESKIPUN industri hiburan tanah air belum sehebat Hollywood, masih ramai anak muda Malaysia mengharap peluang bergelar artis. Namun, tidak semua mereka bertuah menjadi insan seni jika tidak berbekalkan bakat dan aura hebat.

Menyentuh soal ini, ternyata nasib menyebelahi bekas ratu cantik, Tryambikay Vendages atau mesra dengan panggilan Bkay Nair yang sangat meminati seni lakon. Pengorbanannya meninggalkan kerjaya peguam langkah berani yang diambilnya.


Mujur juga percubaan pertama Bkay untuk menjadi bintang layar perak berhasil apabila dia dipilih antara pelakon utama filem Ratu arahan Profesor Madya A Razak Mohideen yang akan ditayangkan Mac 2011.

  • Foto

  • Foto

    BAKAT SENI...Bkay masuk kelas tarian klasikal India ketika usia lima tahun.

  • Foto

    BKAY...bercita-cita jadi pelakon terkenal.

Bkay yang melakonkan watak Shereen berkata, dia tidak menduga akan memperoleh peluang keemasan itu. Ujarnya, selepas terbabit dalam penggambaran filem Ratu, baru dia sedar bukan mudah bergelar pelakon.

"Apapun, saya tidak gentar berdepan cabaran kerana minat yang mendalam. Sejak kecil, saya sudah didedahkan dengan seni apabila memasuki kelas tarian klasikal India ketika usia lima tahun. Pada zaman persekolahan pula, saya juga belajar menari zapin.


"Apabila mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya belajar tarian Latin seperti salsa. Jadi, minat itu memang sudah digilap sekian lama dan atas sebab ini juga saya memberanikan diri di uji bakat filem Ratu.


"Saya rasa sangat gembira membintangi Ratu kerana dapat mengumpul pengalaman. Malah, saya juga dapat membuktikan kepada ayah bahawa inilah minat sebenar saya. Kini, ayah saya sudah boleh menerima keputusan saya mengundur diri daripada bidang guaman."Tambahan pula apabila ayah tahu saya turut bekerja sebagai pengurus koordinasi di Wayang Studios International Sdn Bhd, dia lega.

"Jadi mulai sekarang saya mahu menjadi pelakon yang bagus," katanya.


Pernah menyandang gelaran Miss India Tourism 2007/2008, Bkay juga antara finalis Miss Malaysia India Global 2008/ 2009. Apapun, gadis muda ini tidak sesekali meletakkan kecantikannya sebagai pakej utama menjadi artis.Katanya, dia sudah berusaha sebaik mungkin berlakon dalam filem Ratu. Sekalipun, dia berhadapan cabaran besar seperti memanjat bukit dan masuk ke dalam gua, Bkay tidak pernah berputus asa. Katanya, dia perlu cuba sedaya-upaya.


Menurut Bkay, dia bukanlah individu yang mudah mengaku kalah. Ini kerana, baginya tidak mudah meraih kejayaan tanpa kesabaran yang tinggi, keyakinan dan usaha. Justeru, dia sangat berbangga sudah melakukan semuanya dengan bersungguh-sungguh.


Berbicara pula mengenai sambutan Deepavali diraikan kaum India esok, Bkay berkata dia dan keluarga hanya bersederhana kerana baru kehilangan seorang anggota keluarga. Nenek Bkay meninggal dunia kerana sakit tua, dua bulan lalu.


"Sekarang, saya sekeluarga masih sedih dengan kematian nenek, Rukumani, 84. Jadi, tak seronok hendak meraikannya dengan meriah. Lagipun, saya adalah India berketurunan Malayali yang lebih mengutamakan sambutan perayaan Onum.


"Onum adalah perayaan tahun baru bagi India Malayali yang diraikan September setiap tahun. Pada perayaan Onum itu, masyarakat Malayali akan menyediakan kira-kira 16 makanan untuk dihidangkan yang semuanya berasaskan sayuran.

"Seisi keluarga berkumpul memasak juadah enak bersama dan ia mengeratkan hubungan kasih sayang. Kami bersembahyang dan makan bersama. Manakala, Deepavali pula kami meraikannya secara sederhana," katanya yang sangat fasih berbahasa Melayu.


Sering dianggap sebagai Anak Mami Penang, Bkay berkata di negara ini, perayaan Deepavali selalu disambut dengan gemilang kerana sebilangan besar India tempatan adalah berketurunan Tamil. Bagi masyarakat Punjabi pula, semestinya perayaan Vasaki lebih diutamakan.


Melihatkan dirinya yang sangat fasih berbahasa Melayu, Bkay berkata sejak kanak-kanak, dia membesar dalam kelompok masyarakat Melayu. Maklumlah ayahnya kakitangan kerajaan yang banyak bergaul dengan orang Melayu.


"Saya juga bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kulai, Johor yang rata-rata muridnya Melayu. Justeru, saya sudah terbiasa dengan budaya dan adat Melayu. Malah, saya juga meraikan Aidilfitri dengan rakan Melayu di kampung," ujarnya.


Kata Bkay, sehingga kini dia masih lagi berhubungan rapat dengan rakannya yang berbangsa Melayu. Bersahabat dengan masyarakat berbilang kaum, secara tidak langsung mengeratkan perpaduan dalam negara. Ia seiring dengan misi Gagasan 1Malaysia.




>PROFIL:
NAMA: Tryambikay Vengades
PANGGILAN KOMERSIAL: Bkay Nair
TARIKH LAHIR: 15 Februari 1982
USIA: 28 tahun
ASAL: Kulai, Johor
KELUARGA: Anak tunggal
KETURUNAN: Malayali
KARIER SEKARANG: Pelakon dan Pengurus Koordinasi Wayang Studios International Sdn Bhd
FILEM: Ratu, Raya Tak Jadi dan Bujang Terlajak
IKLAN TV: Kao Laurier dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk 1Malaysia
PENDIDIKAN: Ijazah Undang -Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini sambung pengajian peringkat Sarjana Undang- Undang di Universiti Of London.
BAKAT SENI: Berlakon, bermain muzik, menari tarian klasik India, zapin dan salsa latin
PENCAPAIAN: Finalis Miss Malaysia India Global 2008/2009 dan penyandang gelaran Miss India Tourism 2007/2008

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: