Saturday, November 6, 2010

Bagai karier baru bermula

BERBAKAT...Eyeja menimba pengalaman melalui tiga bidang seni berbeza.
BERBAKAT...Eyeja menimba pengalaman melalui tiga bidang seni berbeza.

PERNAH mencipta nama menerusi pertandingan Bintang RTM pada 2004, pesona penyanyi berbakat, Eyeja Arshad, mula menyerlah.

Jika dihitung, pengalaman yang ditimba selama enam tahun lalu, boleh dianggap ia mencukupi buat dia mencipta nama sebagai penyanyi terkenal. Namun tak semudah itu kejayaan berlaku dalam hidup Eyeja kerana ada sebab tertentu.

  • Foto

    NEKAD...Eyeja sanggup mengeluarkan duit sendiri terbit album solo.

  • Foto

    MENCUBA...ingin terus berlakon dan mengacara jika ada kelapangan.

Bagi Eyeja, apa yang dilalui selama ini banyak mengajar diri menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Walaupun sepatutnya dia sudah dianggap ‘senior’ dan berpengalaman luas, dia tidak keberatan untuk memulakan kariernya dari bawah.

“Untuk memperkenalkan kembali diri saya pada orang ramai, saya mengambil risiko menerbitkan album sendiri yang dijangka berada di pasaran Januari tahun depan.“Ketika ini, saya masih dengan mempromosikan ‘single’ Prasangka ciptaan Intan Shaharuddin. Lagu yang berkonsep pop ini sudah mula diputarkan di stesen radio sejak dua bulan lalu.“Berdasarkan maklum balas peminat menerusi laman sosial, facebook (fb) saya, mereka menyukai lagu ini tetapi sebenarnya mereka juga seperti saya tertanya-tanya mengapa ada stesen radio swasta tidak mahu memainkannya.

“Kata peminat, pernah berlaku mereka membuat permintaan lagu saya kepada penyampai bertugas tetapi malangnya tidak dilayan.

“Sebagai penyanyi, saya tentu terkilan dengan perkara ini. Apa salah lagu saya hingga tidak diberi peluang atau apakah mungkin sebab saya ini bekas peserta Bintang RTM, lalu membuatkan saya tiada tempat di stesen lain?” katanya.

Di sebalik kekecewaan yang melanda, gadis kacukan Melayu-Pakistan ini tidak mahu putus asa terus menyanyi. Untuk itu dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk menerbitkan album pertamanya.

“Sebanyak tujuh lagu baru dimuatkan dalam album berkonsep ‘free pop’ ini. Perbelanjaan album ini adalah dari hasil titik peluh wang yang saya kumpul sejak enam tahun menyanyi.

“Buat masa ini, saya selesa bergerak sendiri untuk memenuhi jemputan persembahan pentas. Begitu juga, sejak awal bulan ini saya melantik Cherry Talent & Management untuk pengurusan serta promosi.

“Memang sukar mengharapkan orang lain menerbitkan album sendiri. Atas faktor itu, biarlah saya menunggu masa yang lama untuk mengumpul duit sendiri.

“Sejak awal terbabit dalam bidang seni, peminat mengenali saya dengan single Rela. Atas permintaan, saya menyanyikan kembali lagu itu dalam album solo saya.

“Bersama Cherry, saya melihat Pengurus Artis, Along Bakar cepat buat kerja dalam mengatur promosi untuk saya. Sebelum ini, saya banyak belajar bermacam perkara termasuk ditipu komposer selepas membayar duit untuk mendapatkan lagu baru.

“Namun, saya gembira kerana album kali ini dihasilkan atas pilihan peminat sendiri. Dua lagu ciptaan Intan termasuk Yang Teristimewa manakala Ezad Izuddin menghasilkan lagu Mentari Senja.

“Baki dua lagu lagi dicipta Indra dan menerusi lagu Dengarkan Aku, saya mengasah bakat menulis lirik sendiri,” ujarnya.

Semakin matang menempuh cabaran sebagai anak seni, Eyeja menyatakan kesabaran cukup penting untuk terus bertahan. Walaupun album solonya lambat diterbitkan, dia beruntung kerana peminat tahu kelebihannya menyanyikan lagu lama.

“Bermula dengan lagu lama seperti zaman 70-an dan 80-an, mereka kenal saya dan dari situ, saya terima banyak tawaran lain. Saya bersyukur kerana masih mendapat pelbagai jemputan persembahan pentas. Ada ketika hingga empat persembahan saya terima dalam sebulan.

“Sejak enam bulan lalu, saya juga dilantik sebagai duta produk kecantikan Eternity. Adanya album baru dan aktiviti menerusi jemputan persembahan, ini menjadi proses penjenamaan semula diri saya.

“Biarpun saya dilabel muka RTM, saya berusaha tampil imej baru. Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan RTM untuk projek-projek akan datang. Tapi sejak dulu, saya tidak pernah ada sebarang kontrak dengan RTM. Jadi ada yang salah anggap dengan status saya.

“Untuk bidang pengacaraan, aktiviti terbaru saya mengendalikan program Planet Seni di saluran Muzik Aktif (Astro). Di awal mengacara dulu, saya sekadar ingin mencuba tetapi tidak sangka atas ‘rating’ yang positif, kerja mengacara saya dilanjutkan.

“Saya masih mempunyai satu program masakan terbaru. Menjadi pengacara memberi ruang pada saya menonjol diri tetapi nyanyian tetap menjadi fokus utama.

“Ada juga tawaran berlakon yang saya terima tetapi saya tolak kerana berasakan masanya belum sesuai. Berbanding berlakon drama atau filem, saya lebih tertarik dengan teater.

“Ajakan rakan sekolah, Jihan (Raja Lawak 3) berlakon bersama Fauziah Nawi memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Jika ada tawaran menarik pada masa akan datang, saya masih berminat untuk berlakon teater dan meneruskan bidang mengacara,” katanya.


PROFIL
NAMA: Shahizal Mohd Arshad
NAMA KOMERSIAL: Eyeja Arshad
TARIKH LAHIR: 21 Oktober 1983
USIA: 27 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi, pengacara dan pelakon.
PENCAPAIAN: Tempat ketiga, Bintang RTM (2004)
ALBUM: Pop Terbaik - Kompilasi (2005)
TEATER: Kembang Layarku dan Monolog Menangislah Anak
PROGRAM: Legasi dan Destinasi Etnik (2009), Aroma Pagi, Sarapan Apa, Tiga Kupang, Gah 1 serta Planet Seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: