Sunday, November 7, 2010

Alor Setar masih dilanda banjir


TUANKU ABDUL HALIM bertanya khabar kepada salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Keadaan banjir yang melanda Kedah sejak Isnin lalu menunjukkan tanda-tanda reda semalam apabila air yang menenggelamkan beberapa daerah di negeri itu mula surut dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 33,121 berbanding 39,785 kelmarin.

Bagaimanapun, keadaan di daerah Kota Setar tidak berubah.

Hampir 80 peratus pusat bandar raya ini terus digenangi air dengan beberapa batang jalan ditutup termasuk Jalan Stadium, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Teluk Wan Jah dan Lebuh Raya Darulaman.

Malah, bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan bagi daerah Kota Setar mencacat peningkatan kepada 19,978 orang berbanding 16,376 kelmarin.

Keadaan di daerah-daerah lain pula semakin pulih. Di daerah Padang Terap, seramai 3,993 mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Kubang Pasu pula hanya seramai 11,488 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 21,111 kelmarin diikuti Pokok Sena (1,413) dan Pendang (242).

Jurucakap bilik gerakan banjir Majlis Keselamatan Negara memberitahu, setakat ini sebanyak 85 pusat penempatan mangsa banjir masih dibuka.

Sementara itu, keadaan banjir di Perlis semakin baik dengan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 9,595 orang berbanding 11,965 orang petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: