
"OSE!" sahut sekumpulan pelajar ketika sesi latihan seni bela diri aikido sebagai maksud memahami apa yang dituturkan oleh seorang lelaki yang memakai hakama iaitu sejenis seluar besar berwarna hitam.
Ungkapan dalam bahasa Jepun yang bermaksud "ya" itu menjadi perkataan yang paling sinonim kepada mereka tatkala berdepan dengan Sensei atau jurulatih seni bela diri aikido.
Aikido yang berasal dari negara Matahari Terbit kini mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Berbeza dengan seni bela diri lain, aikido tidak memerlukan pengamalnya menyerang lawan. Sebaliknya, menggunakan strategi mempertahankan diri sahaja.
Keistimewaan aikido itulah telah menarik minat Aliza Ismail, 26, untuk menyertainya walaupun dia pernah menganggap seni bela diri itu tidak sesuai dengannya.
Pegawai Khidmat Pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi itu menjelaskan, sebelum ini dia menganggap seni bela diri adalah aktiviti yang terlalu lasak dan perbuatan menyerang serta mempertahankan diri seolah-olah seperti seseorang itu mahu bergaduh.
Namun setelah bertemu dengan aikido, persepsinya berubah. Bahkan, Aliza mahu mencubanya.
"Aikido amat berbeza dengan seni bela diri yang lain. Saya tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk melawan, sebaliknya menggunakan tenaga lawan untuk menangkis serangan.

"Ia juga sekadar satu kaedah bela diri. Selain itu, aikido banyak merubah peribadi saya menjadi seorang yang lebih positif dan berkeyakinan," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini ketika ditemui di Pusat Aikido Sudokan Malaysia, Seri Kembangan, Serdang, Selangor.
Beliau mula menyertai aikido sejak dua tahun lalu selepas menonton demonstrasi seni mempertahankan diri oleh Aikido Shudokan Malaysia (ASM) di pekarangan pejabatnya di Menara TM, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.
Persembahan aikido itu berjaya menawan hati Aliza, lantas dia terus mendaftarkan diri bersama ASM. Aliza adalah antara pelajar yang paling cepat mencapai tahap tertinggi dengan mendapat pengiktirafan tali pinggang hitam dalam tempoh dua tahun sahaja.
"Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, saya bekerja keras untuk berlatih. Setelah mendapat tali pinggang hitam, saya turut menjadi jurulatih sepenuh masa di sini," katanya.
Pengamal seni mempertahankan diri aikido perlu melalui beberapa tahap sebelum sampai ke tali pinggang hitam. Bermula daripada tali pinggang putih, mereka akan ke tahap seterusnya iaitu tali pinggang kuning, merah, hijau, coklat dan hitam.
Sementara itu, seorang pelajar ASM, Elreiq Ruizzal Ramlan, 13, menjelaskan, aksi menggulingkan badan dari kedudukan berdiri sebenarnya tidak mendatangkan kecederaan jika pengamalnya mempunyai kemahiran tinggi.
Kaedah elak kecederaan
"Walaupun ada bunyi hentakan yang agak kuat, ia bukannya disebabkan badan kita terhentak, sebaliknya ia adalah salah satu cara untuk melambatkan hentakan dengan menahan menggunakan tangan.

"Ia adalah satu kaedah bagi mengelakkan kecederaan," jelasnya sambil memberitahu teknik tersebut dikenali sebagai ukemi.
Elreiq Ruizzal memberitahu, dia menyertai aikido sejak umurnya enam tahun. Dia meminati aikido kerana seni bela diri itu mempunyai falsafah seni yang tersendiri.
Menurutnya, setiap serangan dapat ditangkis oleh pengamal aikido dengan mudah walaupun saiz lawan lebih besar. Situasi tersebut dapat dikawal kerana kuasa minda dan kepekaan kepada persekitaran.
"Apabila berlaku serangan, kita akan meneutralkan tenaga penyerang dan menyerap tenaganya. Seterusnya menggunakan kembali tenaga tersebut untuk menjatuhkan lawan.
"Falsafahnya ringkas. Anda perlu berwaspada, menentukan waktu yang paling tepat untuk bertindak, memanipulasi tenaga dan disiplin," kata anak kedua daripada lima adik-beradik itu.
Tiada kejohanan
Pengasas ASM, Ramlan Ahmed, 42, menjelaskan bahawa aikido tidak dipertandingkan dalam apa-apa kejohanan sukan kerana tidak wujud aksi pertarungan. Justeru, ia tidak begitu popular jika dibandingkan dengan seni bela diri yang lain.
"Tiada pertarungan bermakna tiada kejohanan. Jadi, ia memang tidak popular," jelas beliau yang kini telah melahirkan hampir 5,000 pengamal aikido.
Menurutnya, seni bela diri yang diasaskan oleh Morihei Ueshiba itu selain berfungsi sebagai mempertahankan diri ia turut mendidik pengamalnya supaya lebih bertanggungjawab.
Jika di kelas, para pelajar diajar supaya sentiasa peka kepada persekitaran dan arahan jurulatih, bersemangat, berdisiplin dan berkeyakinan, maka semangat itu juga harus dibawa ke luar kelas.
"Kita ingin melihat generasi muda yang bersemangat dan bukannya pesimis. Ilmu yang dipelajari perlu dibawa ke luar supaya pengamalnya lebih maju," katanya.
![]() |
| TEKNIK mempertahankan diri Aikido mampu menumpaskan musuh dengan mudah. |
Pelbagai inisiatif dilakukan ASM bagi mendekatkan seni bela diri tersebut dengan masyarakat seperti mewujudkan seminar dan kursus pertahanan diri bersama wanita, syarikat keselamatan dan syarikat-syarikat korporat.
"Pengawal keselamatan dan wanita adalah golongan yang berisiko tinggi diserang tanpa dijangka. Justeru, mereka cukup sesuai mempelajari aikido.
"Falsafah yang terkandung dalam aikido juga boleh diserapkan kepada pekerja-pekerja syarikat korporat untuk menyuntik motivasi mereka, sekali gus memajukan diri dan organisasi," ujar Ramlan yang sebelum ini pernah bekerja sebagai perunding hartanah sebelum menumpukan sepenuh perhatian kepada seni bela diri itu sejak sedekad lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: