Friday, November 12, 2010

50,000 pelajar amuk bantah yuran universiti


BEBERAPA anggota polis dan penunjuk perasaan bertempur di luar ruang legar ibu pejabat Parti Konservatif di London kelmarin.


LONDON - Satu tunjuk perasaan yang disertai 50,000 pelajar kelmarin bagi membantah rancangan kenaikan yuran universiti bertukar menjadi protes paling ganas di Britain sejak beberapa dekad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Bantahan tersebut bermula secara aman di sini kelmarin tetapi bertukar ganas selepas beberapa kumpulan menghasut para pelajar supaya merusuh.

Lokasi paling teruk terjejas termasuk ibu pejabat Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, David Cameron di Menara Millbank di sini yang menyaksikan kerosakan mencecah ratusan ribu pound sterling.

Pemuda-pemuda memakai penutup kepala dan topeng mengamuk dengan memecahkan tingkap-tingkap ibu pejabat Parti Konservatif sebelum mereka pergi ke tingkat tujuh bangunan tersebut dan membaling sebuah alat pemadam api ke arah anggota-anggota polis.

Mereka turut membakar patung-patung Cameron dan timbalannya, Nick Clegg dengan diiringi sorakan penunjuk-penunjuk perasaan lain.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 14 mangsa yang cedera dibawa ke hospital termasuk tujuh anggota polis manakala 35 penunjuk perasaan telah ditangkap.

"Rusuhan ini tidak dapat diterima. ia memalukan London dan kami," kata Komisioner Polis Metropolitan London, Paul Stephenson.

Menurutnya, pihak polis cuma menempatkan lebih 20 anggota di luar Menara Millibank kerana menjangkakan protes tersebut akan berjalan secara aman.

Namun, anggota-anggota polis itu cuma mampu memerhatikan tindakan ganas kumpulan perusuh selepas mereka diasak oleh beribu-ribu penunjuk perasaan.

Pelajar-pelajar itu membantah kenaikan yuran universiti sehingga 9,000 pounds (RM44,901) setahun tiga kali daripada kadar sekarang.

Perdana Menteri Britain yang kini berada di Seoul untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 yang bermesyuarat di Seoul, Korea Selatan mengutuk protes ganas itu.

Menurutnya, undang-undang perlu digunakan bagi berdepan dengan para perusuh yang memecahkan tingkap dan menceroboh pejabat Parti Konservatif yang dipimpinnya.

"Apa yang bukan menjadi sebahagian daripada demokrasi kami ialah keganasan dan melanggar undang-undang. Ia tidak betul," katanya.

Kerajaan Britain kini merancang untuk menaikkan yuran universiti dan memotong perbelanjaan universiti bagi mengurangkan perbelanjaan awam sebagai langkah mengurangkan bajet defisit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: