Monday, November 8, 2010

15 jam tunggu bantuan di laut


PETUGAS hospital memberikan rawatan kepada mangsa-mangsa bot karam yang diselamatkan di Pengkalan Marin Wilayah 3, Setiu semalam.


KEMAMAN - Umpama mati hidup semula.

Itu yang dirasai 16 mangsa termasuk seorang daripadanya merupakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang wanita hamil empat bulan apabila mereka diselamatkan selepas 15 jam terapung di laut.

Kejadian berlaku pada pukul 7 malam selepas bot jenis katamaran yang ketika itu membawa 15 pelancong dan seorang jurumudi dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam skuba di Pulau Tenggol tiba-tiba bocor.

Kebocoran itu dikesan di belakang bot dekat enjin menyebabkan bot tersebut dimasuki air sebelum ia tenggelam.

Cerita jurumudi bot terbabit, Zul Fadhly Yahya, 29, kerosakan pada botnya mula dirasai apabila ia bergerak perlahan secara tiba-tiba ketika perjalanannya pada jarak 8 batu nautika dari Jeti Kuala Dungun.

"Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot," ceritanya yang memberitahu dia segera berpatah balik ke Pulau Tenggol.

Namun ketika berpatah balik, bot itu semakin perlahan dan air semakin banyak masuk.

"Waktu itu bot sudah senget jadi saya risau jika 15 penumpang yang saya bawa itu tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot," katanya ketika ditemui di Jeti Marin Wilayah Timur di sini semalam.

Oleh itu, semua penumpang yang memakai jaket keselamatan diarahkan terjun ke dalam laut hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam.

"Di dalam laut yang gelap kami formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu satu sama lain," katanya.

Sebelum terjun dari bot, menurut Zul Fadhly, dia sempat memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakannya di resort tempat dia bekerja dan meminta bantuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: