
BARAH payu dara kekal sebagai masalah kesihatan yang paling dibimbangi wanita pada hari ini. Ia merangkumi lebih 30 peratus punca barah bagi wanita dewasa dan merupakan penyebab utama kematian wanita.
Di Malaysia, dianggarkan seorang daripada 20 wanita berisiko mendapat barah payu dara.
Peka dengan masalah yang membelenggu kaum wanita itu, Softlan, perapi pakaian nombor satu di Malaysia telah melancarkan Kempen Kesedaran Barah Payu Dara Softlan di Pasar Raya Besar Giant, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor awal November lalu.
“Bagi merealisasikan nilai kasih dan sayang, Softlan mengambil inisiatif menyumbang dan menyokong komuniti terutamanya kepada kaum wanita.
“Ini memberikan kami inspirasi melancarkan Kempen Amal Barah Payu Dara Softlan tahun lalu dan ia akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” kata Pengarah Urusan Colgate-Palmolive Marketing Sdn. Bhd., Issam Bachaalani.
Pada tahun lalu, melalui sumbangan rakyat Malaysia, kempen tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak RM76,366.
Jumlah tersebut telah diagih-agihkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna), Pertubuhan Kebajikan Barah Payu Dara Malaysia (BCWA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi menyokong inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pengesanan awal barah payu dara.
“Seperti tahun lalu, sepanjang bulan November, Softlan akan mengasingkan 10 sen daripada penjualan setiap pek amal Softlan untuk disumbangkan kepada aktiviti pengesanan awal barah payu dara.
“Selain sumbangan tersebut, Softlan turut menganjurkan pameran kesedaran barah payu dara percuma yang bermula pada 29 Oktober dan berakhir 5 November lalu,” ujarnya.
Selain menawarkan kaunseling dan pendidikan mengenai barah payu dara, Softlan juga mengaturkan mengenai cara yang betul pemeriksaan sendiri payu dara yang diselia oleh jururawat terlatih daripada Makna, BCWA dan NCSM.
Dalam pada itu, Naib Presiden BCWA, Dr. Zaharah Ayub memberitahu, sudah menjadi norma masyarakat di Malaysia untuk datang ke premis untuk belajar dan mencari maklumat mengenai barah payu dara.
“Dengan adanya kempen sebegini, kami percaya ia dapat meningkatkan kesedaran awam seterusnya menggalakkan lebih ramai wanita Malaysia belajar mengenai barah payu dara,” katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran kempen tersebut ialah Pengarah Perdagangan Giant Hypermarket Sdn. Bhd., Ian Cruddas; Pengurus Bahagian Antarabangsa Makna, Mattheus Trevizoli Barrachi; Pengarah Urusan NCSM, Rubi Ain Dahlan dan pelakon, Vanidah Imran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: