|
|
BERSUA dengan pelakon yang sinonim dengan watak komedi, Zul Yahya pada majlis sidang media program Ramadan dan Merdeka RTM baru-baru ini, jelas kebahagiaan terpancar pada wajahnya.
Sifat kebapaan Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya jelas kelihatan apabila dia leka melayan anak sulungnya, Arissa Qaisara berusia 1 tahun 7 bulan yang turut dibawa bersama.
Sambil matanya mengawasi gerak-geri Arissa, Zul memberitahu hidupnya kini lengkap sebagai lelaki apabila dia mempunyai sebuah keluarga bahagia di samping dua cahaya mata termasuk Aqil Qayyim yang kini berusia 7 bulan.
Tambahnya yang berkahwin tiga tahun lalu, apabila dia memperolehi nikmat dalam perkahwinan terasa rugi di hatinya apabila dia lewat menamatkan zaman dudanya dahulu.
"Kalau saya tahu seronoknya bila ada anak, tambahan pula dapat anak sepasang rugi saya kahwin lewat. Setiap hari hidup saya tidak pernah bosan dengan keletah dua anak saya.
"Ada saja benda baru yang mereka pelajari setiap hari yang membuatkan saya bangga menjadi bapa mereka. Hari-hari penuh dengan aktiviti bersama anak-anak," ujarnya yang sebelum ini menduda selama 15 tahun.
Kata pelakon yang kini berusia 40 tahun itu lagi, hampir setahun dia menyepi daripada dunia seni sebelum ini bukan kerana dia sudah tidak laris sebaliknya sibuk dengan urusan keluarga dan juga perniagaannya.
Justeru, apabila semuanya sudah lebih teratur, baru kini pelakon drama Kaber Hero Kaber Zero itu kembali memeriahkan dunia seni.
"Sebelum ini setahun saya hilang sekejap daripada dunia lakonan sebabnya masa itu anak-anak saya masih kecil dan memerlukan perhatian yang lebih. Perniagaan restoran yang diberi nama Kafe Zul Yahya yang saya buka di Shah Alam juga memerlukan pemantauan.
"Bila anak sudah besar sikit, restoran yang dulunya saya uruskan sendiri kini sudah ada rakan kongsi saya biarkan dia yang uruskan jadi saya dapatlah kembali berlakon. Diam-diam saya selama setahun itu saya isi juga dengan buat skrip drama," ucapnya.
Tutur suami kepada Siti Raihan Ahmad Rodzi, 25, itu lagi, selama 17 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan banyak perkara yang dipelajarinya. Selain menulis skrip, dia juga mula berjinak-jinak dengan bidang pengarahan drama.
Enggan dilabel pelakon komedi
Meskipun enggan mendedahkan drama pertama yang bakal mendapat sentuhannya kerana masih belum ada sebarang pengesahan, Zul menjelaskan dia sebenarnya sudah lama berminat untuk menjadi seorang pengarah.
"Sepanjang dalam bidang lakonan, saya teliti kerja-kerja belakang tabir. Saya belajar perlahan-lahan tidak secara langsung membuat saya berminat ke arah pengarahan.
"Apa yang membuatkan saya berani untuk mengarah adalah pengalaman dan ilmu yang saya miliki. Saya yakin jika kita mahukan sesuatu dan berusaha ke arah itu tidak mustahil apa yang kita impikan akan terlaksana," katanya.
Enggan dilabel sebagai pelakon komedi kata Zul: "Apa yang saya lihat dalam industri lakonan kita, kalau seorang pelakon itu berjaya bawa watak komedi dengan baik, ia akan melekat dengan kerjanya pelakon itu sampai bila-bila. Sedangkan sebagai pelakon macam saya juga mengharapkan dapat memegang watak lain selain komedi.
Beralih bicara tentang bulan Ramadan, Zul mengatakan dia menyambut puasa dengan penuh kesederhanaan memandangkan bajet yang banyak perlu dilaburkan buat kedua cahaya matanya.
"Saya puasa macam biasa, kerja tetap kerja. Cuma kalau cakap tentang bajet itu, ia berbeza dengan watak bujang dulu. Kalau dulu semuanya dilabur untuk diri sendiri seperti beli baju tetapi sekarang saya pakai saja apa yang ada sebab yang penting adalah anak-anak.
"Bagi saya Ramadan dan raya kali ini lebih meriah sebab keluarga saya sudah bertambah, tanggungjawab semakin berat tetapi saya tetap amalkan bersederhana. Beli apa yang patut sahaja," tuturnya yang akan muncul dalam drama Midah Kuih Bangkit di TV2 pada 27 Ogos depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: