Thursday, September 30, 2010

Juadah 1Malaysia di Amsterdam


Phang Man Wai (KANAN) tersenyum melayan RAKYAT MALAYSIA YANG MENGUNJUNGI RESTORANNYA.


SEORANG warga Malaysia yang berjalan-jalan sekitar bandar raya Amsterdam di Belanda pada hari yang lembap dan sejuk pasti teringin menghirup segelas teh tarik panas bersama roti canai.

Keinginan itu bertukar menjadi kenyataan di Restoran Nyonya Malaysia dengan 35 tempat duduk di Jalan Kloveniersburgwal yang menghidangkan juadah enak dan menarik mengikut selera mana-mana warga Malaysia. Restoran yang dibuka setiap hari menjadi kebanggaan Phang Man Wai, 44, warga Malaysia yang berasal dari Kuantan.

Dia menyajikan juadah 1Malaysia seperti rendang, kangkung belacan, tomyam, sambal petai udang, sate, nasi lemak, char kway teow dan banyak lagi. Restoran, yang dibuka pada September 2005, itu kini menyaksikan lebih 120 pelanggan setiap hari dari semua lapisan masyarakat dan pelbagai warganegara.

MEMPERKENALKAN MASAKAN MALAYSIA

“Saya berusia 22 tahun apabila membuat keputusan untuk datang ke sini. Abang saya bekerja di sini pada ketika itu. Saya bekerja di restoran-restoran Cina selama beberapa tahun sebelum membuka restoran sendiri di pusat perniagaan masyarakat Cina (Chinatown) pada 1998,” kata beliau kepada penulis yang singgah di restorannya semasa berada di Amsterdam baru-baru ini.

Bagaimanapun, Phang memilih untuk memperkenalkan masakan Malaysia dan berpindah ke jalan lain dengan menyewa sebuah kedai kecil di sebuah bangunan milik kerajaan dengan kadar sewa 850 euro sebulan (1 euroRM3.90).

Phang dibantu oleh isterinya Lisa yang berasal dari Hong Kong dan tiga lagi pembantu.

Beliau tidak menghadapi kesukaran dalam mendapatkan bahan mentah untuk masakan Malaysia kerana semuanya boleh didapati di pasar oriental di Amsterdam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: