|
|
UTEH, 10, (bukan sama sebenar) begitu bersemangat mengheret tubuh kurus yang menampakkan tulang selangka setiap kali azan berkumandang dari hotel penginapannya, Safao Taamiz, lebih kurang 150 meter dari Masjidil Haram, Mekah.
Ditemani saudara lebih tua dari keluarga besar Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV-AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) dan Pusat Perlindungan PERNIM Bhd., anak kecil yang disahkan positif virus yang membawa maut itu tampak sihat, cergas dan sedaya upaya berusaha melawan penyakit di bawah panas terik mencapai kepanasan lebih 40 darjah celsius.
Keadaannya itu nyata jauh berbeza sehari sebelum berangkat menunaikan umrah baru-baru ini apabila dia Uteh, tiba-tiba mengadu penat dan merebahkan tubuh lesu menyebabkan suasana di rumah hiba dengan esakan dan tangisan.
Air mata Yang Dipertua PERNIM, Norlina Alawi, 39, yang digelar mama oleh 50 anak-anaknya mengalir deras dan dia pasrah jika ‘kehilangan’ Uteh kerana anak kecil itu menurut pihak hospital berada di perjalanan terakhir seorang pesakit HIV/AIDS.
Namun kuasa Allah, semangat yang tidak pernah berhenti ditiupkan Norlina kepada tujuh anak kandung dan 43 anak angkatnya turut meresap dalam sanubari Uteh yang menumpang kasih di rumah perlindungan itu hampir empat tahun lalu.
Dengan segak memakai jubah dan berkopiah ketika menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang Jeddah selama lapan jam, Uteh kekal cergas.
Begitu juga ketika menaiki bas dari Jedah menuju ke Madinah, perjalanan hampir enam jam menjelang subuh itu dilalui Uteh dengan semangat yang berkobar-kobar dan semakin nampak kubah masjid Nabawi yang memancar cahaya, Uteh semakin ‘sihat’.
Di sebalik semangat dan kekuatan Uteh tersisip perasaan bangga Norlina yang menjadi tunggak kepada PERNIM sejak ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 2004 yang sentiasa menitip kekuatan di dalam jiwa anak-anak yang kehilangan ayah dan ibu.
Sukar menggambarkan jiwa penyayang wanita itu. Setiap sudut dan ruang hatinya dipenuhi kasih sayang sehingga tidak berbeza layanan antara anak kandung dan anak angkat.
‘‘Mereka semua anak saya dunia dan akhirat. Walaupun 43 daripadanya tidak lahir dari rahim sendiri namun mereka anak-anak kurniaan ilahi yang menuntut perhatian lebih daripada hanya seorang penjaga makan dan minum.
‘‘Anak-anak perlukan kasih sayang, belaian dan perhatian seorang ibu dan ayah yang benar-benar ikhlas untuk membentuk menjadi manusia berguna. Saya tidak berkompromi tentang itu,” katanya.
Merealisasikan kata-katanya itu, Norlina menjadikan anak-anak PERNIM sebagai anak angkat yang sah mengikut undang-undang. Namun istilah angkat tidak ada dalam kamus hidupnya.
‘‘Uteh dan anak-anak lain adalah ‘nyawa’ saya yang memerlukan sokongan dan kekuatan mental dan fizikal untuk membesarkan mereka.
“Justeru, dalam setiap hati penghuni juga begitu, bangga memiliki sebuah keluarga besar dan lengkap dengan kehadiran ibu dan ayah,” ujarnya.
Namun keikhlasan Norlina sering berbayar dengan tanggapan negatif sesetengah pihak. Malah lebih teruk lagi ada yang sanggup mengembalikan kenangan pahit anak-anak yatim yang melarat dan terbiar sebelum ini merobek hati keibuannya.
Cerita Norlina, awal tahun ini misalnya, dia mengeluarkan kesemua anak-anaknya yang belajar di sebuah sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur gara-gara penganjuran malam amal yang seolah-olah mempersenda mereka.
‘‘Niat mereka mungkin ikhlas mahu mengumpul tabung untuk sekolah berkenaan. Namun penganjur terlepas pandang perasaan anak-anak yang selama tinggal di PERNIM telah ditingkatkan harga diri dan dididik memelihara maruah diri.
‘‘Cukup dikesalkan, apabila dalam satu majlis, anak-anak ini diperolok-olok dengan penampilan yang mengundang belas kasihan sambil menyanyikan lagu ‘tolong kami, bantu kami’ dan memegang peti kosong dari satu meja ke meja yang lain,” katanya.
Hampir semua yang ada di dewan menangis simpati. Namun hati Norlina dan suami, Roslan Zakaria, hancur luluh menyaksikan peristiwa itu. Lebih-lebih lagi apabila seorang anak kecilnya bertanya sambil teresak-esak, katanya: ‘‘Mama pernah bagi tahu, kami tidak perlu mengemis untuk makan, tapi malam ini...,”
Sejak hari yang dianggap ‘malang’ itu, Norlina ligat memikirkan untuk memartabatkan harga diri anak-anak yang tercalar itu dengan mempelbagaikan program motivasi dan secara tidak sengaja timbul idea membawa anak-anaknya menunaikan umrah di kota suci Mekah.
‘‘Anak-anak saya datang daripada latar belakang berbeza, ada yang kematian ayah ibu kerana positif HIV/AIDS, dibuang saudara mara kerana malu menyimpan anak bekas penagih dadah, disisih keluarga dan terpaksa mengutip sampah sarap untuk mencari sesuap nasi malah ada yang menyaksikan ibu sendiri mati membunuh diri.
‘‘Tidak mudah melupakan tragedi hitam yang tertanam dalam fikiran anak-anak ini ditambah pula kurang kasih sayang. Jiwa mereka halus dan sensitif. Mudah tersentuh dan paling dibimbangi tidak memiliki keyakinan diri,” ujarnya.
Katanya, melalui Program Nur Iman di Tanah Suci diharap membantu meningkatkan motivasi anak-anak yatim itu supaya lebih cemerlang dalam kehidupan.
‘‘Mereka pernah melalui pelbagai penderitaan, bertukar agama atas kehendak orang yang sanggup membela sedangkan keluarga sendiri tidak mahu menanggung beban dan enggan menanggung risiko kerana anak menghidap AIDS sering menjadi bualan orang sekeliling,” katanya.
Tambahnya, melalui program seumpama itu, ia membuka minda masyarakat dengan memaparkan perjalanan serta pengalaman kumpulan anak-anak yatim ini ke tanah suci agar memberi keinsafan kepada orang ramai dan mereka juga mempunyai ruang di dunia ini.
Pemergian Uteh dan 20 jemaah dari PERNIM yang terdiri daripada penghuni PERNIM, orang kurang upaya (OKU), pesakit kanser dan beberapa pengiring untuk menjayakan Program Nur Iman Di Tanah Suci berjaya dilaksanakan baru-baru ini dan ia bakal ditayangkan di kaca televisyen sebelum musim haji akan datang.
Ini merupakan pemergian ke tanah suci kali kedua bagi anak-anak tersebut. Pada 2009 Norlina membawa anak-anaknya mengikuti ibadah umrah dengan pembiyaan sendiri. Kos sebanyak RM 70,000 dibayar secara ansuran dengan kerjasama sahabatnya dari Harmony Excellent, Hashim Abdullah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: