DAERAH Temerloh, di Pahang cukup sinonim dengan ikan patin. Populariti ikan eksotik itu menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan restoran-restoran di daerah tersebut termasuklah di gerai-gerai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di Lebuh Raya Pantai Timur.
Dengan erti kata lain, hidangan ikan patin boleh ditemui hampir di kebanyakan tempat makan di daerah itu. Ini termasuklah di gerai, warung, hinggalah hotel. Patin juga merupakan salah satu hidangan kegemaran penduduk tempatan.
Resipinya juga pelbagai. Patin boleh digoreng, masak gulai tempoyak, singgang, dibakar bersama tempoyak dan dipanggil pais patin. Fenomena ikan patin bukan saja menjadikan bandar kelahiran nasionalis negara, Ishak Haji Muhamad atau lebih dikenali sebgaai Pak Sako dan Sudirman itu terkenal, bahkan ia mengubah landskap Sungai Semantan.
Industri ikan patin sangkar di Temerloh boleh dilihat di sepanjang sungai tersebut. Dianggarkan terdapat lebih 100 sangkar ikan patin yang memberi peluang kepada penduduk menceburi bidang akuakultur.
Ikan patin Temerloh sama seperti ikan-ikan spesies itu di Asia Tenggara. Ia merupakan sejenis ikan air tawar tanpa sisik hampir menyerupai ikan keli. Patin termasuk dalam kategori spesies Pangasius Lanaurdi Bocourt.
Kulit ikan itu pula kebiasaannya berwarna perak, putih kebiru-biruan. Di Thailand, patin dikenali sebagai basa. Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.
Menternak ikan patin sangkar adalah bisnes yang menguntungkan di Temerloh. Bekalan ikan patin sentiasa dicari sama ada di pasar atau Pekan Sehari iaitu pasar pagi terpanjang di Semenanjung Malaysia, pasar raya atau di gerai-gerai ikan air tawar di sepanjang Sungai Pahang.
“Permintaan terhadap ikan patin adalah luar biasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Pahang,” kata salah seorang penternak, Abdul Halim Ismail, 45.
Menurut Abdul Halim, sambutan luar biasa tersebut menyebabkan para penternak patin kadangkala tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.
“Saya sendiri ternak 1,200 ekor patin pada satu-satu masa dalam tempoh lapan bulan dan membekalkan sekitar 600 kilogram (kg) ikan patin setiap bulan untuk memenuhi permintaan suri rumah dan pengusaha restoran,” katanya ketika ditemui di sangkar patin ternakannya di Kampung Pangsenam, Temerloh baru-baru ini.
Ketika industri ikan patin sangkar tidak serancak hari ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa sesetengah pengusaha restoran mengenakan caj yang mahal sekitar berpuluh ringgit untuk sepotong ikan patin.
Ikan patin liar mempunyai harga yang agak mahal kerana ia mempunya pasarannya yang tersendiri.
Namun, ini tidak bermakna ikan patin sangkar tidak istimewa. Ikan patin sangkar mempunyai sifat dan rasa yang berbeza daripada ikan patin yang diternak di dalam kolam. Lazimnya, ikan patin yang diternak dalam kolam mempunyai rasa lumpur dan hanyir.
Sebaliknya, ikan yang dipelihara di dalam sangkar membesar dalam Sungai Pahang. Rasanya jauh lebih enak berbanding spesies ikan yang sama di sungai-sungai lain di negara ini walaupun diberi makan pellet.
Terdapat empat jenis ikan patin liar di Sungai Pahang yang popular iaitu patin muncung yang berharga RM200 sekilogram (kg), patin buah RM100 satu kg dan patin lawang RM80 satu kg.
Resipi warisan keluarga
Sementara itu, pengusaha Gerai Pak Usop yang menyediakan menu ikan patin terkenal di Temerloh, Muhamad Alimi Adnan, 40, berkata, gulai tempoyak merupakan menu paling popular di kalangan penduduk tempatan.
“Setiap hari saya memasak 80 kg ikan patin dalam dua periuk besar untuk gulai tempoyak. Biasanya periuk pertama akan habis dalam masa satu jam, manakala periuk kedua pula akan habis dalam masa satu setengah jam,” ujarnya.
Muhamad Alimi menambah, ikan patin perlu dicuci bersih sebelum dimasak bagi menghilangkan bau hanyir.
“Resipi patin gulai tempoyak diwarisi oleh keluarga saya sejak turun temurun dan cara penyediaannya juga masih mengikut cara lama,” kata Muhamad Alimi yang mewarisi resipi tersebut selepas bapanya, Adnan Mamat atau lebih dikenali sebagai Pak Usop meninggal dunia sejak dua tahun lalu.
Gulai tempoyak ikan patin Gerai Pak Usop di Arked Majlis Perbandaran Temerloh dekat Lurah Semantan cukup terkenal di kalangan penduduk tempatan. Bahkan, ia juga menjadi sebutan di kalangan pengunjung dari luar.
Kepada seorang penggemar ikan patin yang juga eksekutif akaun, Haslindaroha Hawari, 29, rasa ikan patin lebih manis apabila dicampurkan dengan sedikit tempoyak.
“Sama ada masakan itu berkuah atau dipanggang, patin lebih sedap jika ditambah sedikit tempoyak dalam masakan walaupun dipanggang,” katanya yang menggemari gulai tempoyak, panggang sambal, asam pedas tumis, masak lemak cili api dan sebagainya.
Menurutnya, rasa ikan patin memang berbeza dengan ikan air tawar yang lain. Kebanyakan penggemar pula sangat suka makan bahagian perut ikan patin yang hanya mengandungi lemak tanpa isi.
“Menurut kata orang lama, lemak di bahagian perut ikan itu membantu melempabkan kulit wajah dan melambatkan kedutan serta mengatasi masalah jerawat,” katanya yang tidak pasti sejauh manakah kebenaran fakta tersebut secara saintifik.
|
|
Memandangkan potensi dan reputasi Temerloh yang menerima jolokan nama Bandar Ikan Patin, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan daerah itu sebagai pengeluar utama ikan patin untuk pasaran di seluruh negara mahupun eksport.
Tembusi pasaran antarabangsa
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah ketika dihubungi berkata, sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan ikan patin bakal dibina di daerah berkenaan di kawasan seluas satu hektar bernilai RM500,000 bagi menggalakkan industri itu.
Tambah Saifuddin, pusat tersebut juga akan dilengkapi sebuah kilang pemprosesan dan pembungkusan ikan patin.
“Industri ikan patin bukan hanya mengenai makanan tradisional seperti masak tempoyak semata-mata, ia perlu dipelbagaikan dengan menghasilkan makanan ringan, filet, bebola ikan, serunding dan sebagainya,” katanya.
Menurut Saifuddin, populariti Temerloh yang selalu dikaitkan dengan masakan ikan patin juga berpotensi menjadikan ia sebagai daerah pelancongan domestik mahupun antarabangsa. Pada masa sama, ia mampu menjana perkembangan ekonomi sekitar.
Ikan patin Temerloh kini berjaya menembusi pasaran Dubai, Arab Saudi dan United Kingdom walaupun bekalan semasa sebanyak 50 tan metrik setiap bulan masih tidak mampu memenuhi permintaan dalam negara.
““Ikan patin dari Temerloh mempunyai kualiti dan rasa tersendiri sehingga berjaya menarik ramai penggemar dari luar termasuk Kuala Lumpur dan lain-lain negeri untuk menikmati keenakan masakan.
“Jika usaha ini digerakkan bersama antara semua penduduk dengan menjadi penternak, Temerloh berupaya untuk dikenali sebagai pengeluar ikan patin terbaik di mata dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: