TIDAK terlintas langsung di fikiran pelakon, Adeline Tsen, 24, untuk menjaja publisiti bercinta dengan rakan artis. Namun entah mengapa, cerita cinta dirinya dengan artis lelaki sering menjadi bualan.
GADIS DI BAWAH BAYU...mahu ceburi bidang nyanyian.
KORBAN MASA...Adeline jalani latihan amali enam bulan membuatkan sukar terbabit dalam penggambaran.
Sejak gambar Adeline dan Fahrin keluar minum di kedai kopi dirakamkan dan tersebar di Internet, timbul pelbagai dakwaan mengenai pelakon yang bernaung di bawah MIG Talent Sdn Bhd itu.
Secara jujur, Adeline memberitahu, dia tidak menyangka tindakannya itu dijadikan satu isu kontroversi. Biarpun mereka hanya berkawan dan berkenalan ketika sama-sama menjayakan satu drama yang bakal disiarkan di stesen televisyen tempatan.
“Saya mengenali Fahrin sejak April lalu dan selesa berkawan dengannya. Dia matang dalam banyak perkara. Tambah pula dia lebih dulu menceburkan diri dalam bidang seni, sudah pasti banyak perkara dan pengalaman yang boleh di kongsi bersama.
“Setakat ini, memang kami berkawan dan tidak menyangka tindakan keluar minum bersama disebarkan di Internet dan menjadi cerita sensasi. Hakikatnya, saya hanya minum dengannya sekali saja.“Memandangkan kami sibuk dengan komitmen masing-masing, kami jarang bertemu. Cuma kadangkala kami bertanyakan khabar menerusi SMS dan BBM,” katanya.
Tidak mahu penjelasan itu disalah erti segelintir pihak. Adeline yang membintangi drama 3 Serumah dan Adnan Semp-It The Series berharap isu berkenaan tidak berpanjangan. Sebagai artis, dia sedia maklum dengan situasi yang dilalui. Walaupun begitu, dia tetap menganggap dirinya masih bertatih dalam dunia seni.Melakonkan watak Yah dalam filem Senario: Asam Garam, Adeline bertuah kerana mendapat bimbingan pengarah dan barisan pelakon berpengalaman. Biarpun berasa diri cukup kerdil bergandingan dengan pelakon ternama tanah air, dia bangga kerana menjadi sebahagian pelakon yang menjayakan filem komedi terbitan MIG Productions Sdn Bhd itu.
“Bekerja di bawah bimbingan pengarah Profesor Dr Hatta Azad Khan cukup menyeronokkan. Dia banyak memberi tunjuk ajar. Walaupun tegas, dia tidak garang. Dia meyakinkan saya untuk memberikan impak lakonan yang bagus. Apatah lagi dia juga seorang pensyarah dan sering memberi tunjuk ajar membabitkan teori.
“Memang ketika membintangi filem itu saya rasa diri ini cukup kerdil berbanding pelakon lain yang jauh lebih berpengalaman. Sangkaan saya sudah pasti sukar melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
“Saya bertuah kerana setiap pelakon saling bantu membantu dan mudah mesra ketika di set penggambaran. Pengalaman bekerja dengan kumpulan Senario dalam filem Senario Beach Boy juga cukup menyeronokkan,” kata Adeline yang sering bergandingan bersama Nadia Mustafar dan Julia Hana.
Sebagai pelakon, dia gembira apabila mendengar khabar sambutan menggalakkan daripada penonton. Sejak ditayangkan pada 1 Syawal lalu, filem Senario Asam Garam mencatat kutipan sebanyak RM2.6 juta.
Penuntut Ijazah Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan kini menjalani latihan amali selama enam bulan di sebuah syarikat perakaunan di ibu negara bersyukur kerana penat lelah sepanjang terbabit dalam dunia seni membolehkan dia melunaskan impian untuk melancong ke Paris sebelum berusia 24 tahun.
Dia meluangkan masa dua minggu bersama rakan-rakan melancong ke Paris pada Jun lalu dengan berkunjung ke beberapa destinasi menarik seperti Disneyland dan Menara Eiffel yang terletak di tepi Sungai Seine di Paris. Kini dia menyimpan impian untuk berkunjung ke Rom, Itali pada masa akan datang.
Adeline yang baru pulang dari Phuket, Thailand pada Aidilfitri lalu terpaksa mengorbankan pembabitannya dalam penggambaran buat masa ini disebabkan kekangan waktu menjalani latihan amali.
“Saya terpaksa bergantung kepada kerja-kerja seperti modeling pada hujung minggu kerana menjalani latihan amali dan terikat dengan waktu pejabat sehingga Disember ini. Saya tidak ada masa untuk menjalani penggambaran.
“Tidak mengapa, saya anggap ini adalah pengorbanan yang perlu saya lalui untuk bergelar anak seni. Memang banyak tawaran yang terpaksa saya tolak. Kalau ikutkan, memang sedih dan kesal namun saya mahu menamatkan pelajaran terlebih dahulu.
“Sebelum ini, saya pernah menangguhkan pengajian kerana terbabit dalam bidang seni. Begitupun, saya menyasarkan sekurang-kurangnya dapat menamatkan pengajian pada tahun depan,” kata Adeline yang turut meletakkan sasaran terbabit dalam bidang nyanyian dengan kemunculan single terbaru sekurang-kurangnya penghujung tahun depan.
Mengenai rancangan menamatkan zaman solo. Adeline memaklumkan perkara itu masih belum dalam perancangan sebaliknya fokusnya kepada karier terlebih dahulu. Begitupun, dia tidak menolak kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga sebelum berusia 30 tahun.
PROFIL
NAMA: Adeline Anthony
PANGGILAN: Adeline Tsen
UMUR: 24 tahun
TEMPAT LAHIR: Kota Kinabalu, Sabah
KERJAYA: Pelakon, model dan pelajar
IKLAN: Coke, Pizza Hut, Hotwing
DRAMA: 3 Janda, 3 Serumah, Zaty & Si Mawas, Jangan Pandang Belakang 2, Adnan Semp-It Series, Hotel Mania (muzikal)
FILEM: V3, Adnan Semp-It, Senario Beach Boy, Senario Asam Garam, Kecoh Betul, Adik Manja Return, 3GP
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: