Wednesday, September 29, 2010

Rahsia pemalu Tun Dr. Mahathir




PEMENTASAN Muzikal Tun Mahathir yang dipersembahkan pertama kali pada malam 23 September lalu telah membuka sebuah rahsia besar mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir.

Ironi, pada mata kasar, tokoh ini dilihat begitu berwibawa mengemudi pelbagai polemik yang melanda negara di mata dunia. Diangkat sebagai salah seorang pemimpin terbaik dunia, Tun dalam sebuah kehidupan peribadinya, hanya seorang anak kampung biasa daripada Kedah yang pernah menjadi seorang peniaga belon.

Lebih daripada itu, hakikatnya, lelaki yang selalu dilihat dalam karisma tersendiri dan bijak berhujah ini sebenarnya adalah seorang pemalu terhadap wanita. Lantas bagaimana beliau menterjemahkan cintanya buat Tun Dr. Siti Hasmah yang dinikahi sejak 54 tahun lalu.

Semuanya itu dipentaskan dengan penuh romantik dalam pementasan tersebut yang menyaksikan percubaan beliau memikat Siti Hasmah ketika sama-sama menuntut di Kolej Perubatan King Edward Vll, Singapura, sekitar tahun 40-an dulu.

Segala yang dipentaskan, suka duka dan momen peribadi milik tokoh berusia 85 tahun itu dilihat sebagai satu langkah yang bijak agar masyarakat dapat mengetahui serba sedikit tentang latar kehidupan bekas Perdana Menteri Malaysia itu yang tidak diketahui umum.

Bagi Esma Daniel, Erra Fazira dan Zizan Nin, dipilih memegang karakter penting dalam pementasan tersebut dianggap sebagai suatu yang di luar jangkaan.

Menurut ketiga-tiga pelakon tersebut, memegang peranan sebagai seorang tokoh negarawan yang terbilang di negara ini pastinya bukan tugas yang mudah. Apatah lagi sekiranya membawakan watak sebagai seorang tokoh yang masih lagi hidup dan terkenal di seantero dunia.


ESMA DANIEL membawa watak Tun Mahathir dengan cara tersendiri.


Esma yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan mengakui bahawa dia sendiri sangat terkejut apabila ditawarkan untuk memegang watak utama sebagai Tun Dr. Mahathir Mohamad empat bulan yang lalu.

“Untuk memastikan saya mampu membawakan watak ini dengan berkesan, saya banyak mendapatkan maklumat tentang Tun daripada anak lelaki beliau, Mirzan Mahathir dalam satu pertemuan secara eksklusif yang diaturkan oleh pihak Istana Budaya. Saya juga banyak membaca blog dan buku-buku hasil tulisan beliau untuk memahami karakternya dengan lebih dekat,” ujarnya.

Bagi menjayakan pementasan ini juga, Esma mengakui dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon semata-mata untuk memberi tumpuan terhadap watak yang baginya sangat mencabar dan benar-benar menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon.

Mengenai Tun Dr. Mahathir, Esma berpendapat, tokoh tersebut adalah individu yang sangat terkenal dan hebat. Pemikiran dan ideologi beliau banyak mempengaruhi serta memberi inspirasi kehidupan rakyat di negara selama 22 tahun memerintah tidak harus dilupakan sama sekali.

Lakonan Mazhar Mahathir

Sementara itu, Zizan Nin yang membawakan watak Tun Dr. Mahathir ketika remaja turut mempunyai pandangan mengenai tokoh negarawan itu.

“Semasa di sekolah rendah dahulu, saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri. Kini saya hanya memainkan watak sebagai bekas Perdana Menteri, tetapi itu sudah memberikan satu kepuasan kepada diri kerana Tun Dr. Mahathir adalah seorang tokoh yang cukup saya kagumi,” katanya yang mengaku perlu banyak memperbaiki diri kerana pertama kali terlibat dalam teater.

Menurut Zizan lagi, banyak cabaran yang harus dilalui apabila dia sendiri tidak berbakat dalam tarian dan nyanyian. Namun dengan segala tunjuk ajar yang diterima sepanjang latihan, akhirnya dia mampu membawakan watak tersebut dengan baik.


BABAK antara askar Jepun dengan orang kampung turut dipaparkan.


Manakala bagi Erra yang memegang watak Tun Dr. Siti Hasmah, meskipun hanya terbabit dalam tujuh babak sahaja, namun dia tetap memainkan peranan yang besar dalam sebahagian daripada kehidupan tokoh pemimpin tersebut.

“Pertama sekali, sudah tentu saya berasa amat lega selepas persembahan yang pertama dipersembahkan dan sangat gembira melihat sambutan yang diberikan oleh penonton. Biarpun tidak banyak babak membabitkan saya, namun saya akan memastikan watak yang saya bawa itu mampu memberi kesan mendalam terhadap kewujudan Tun Dr. Siti Hasmah sebagai isteri seorang pemimpin negara,” ujar pelakon yang pernah muncul dalam teater Selendang Umi sebelum ini.

Menariknya, anak angkat Tun Dr. Mahathir sendiri, Mazhar Mahathir turut berlakon dalam muzikal tersebut dan memegang watak sebagai Mr. Thompson dan Peter. Jelasnya, dia sendiri begitu teruja kerana ini kali pertama dia dipilih untuk berlakon dalam sebuah pementasan muzikal yang besar.

“Tentang penglibatan dalam bidang teater, saya mendapat sepenuh kepercayaan dan sokongan daripada ahli keluarga sendiri. Saya memang minat dengan bidang ini sejak dari tingkatan satu apabila selalu dibawa menonton persembahan teater,” ujarnya yang kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan teater.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: