Thursday, September 30, 2010

Jaga imej baik jemaah Malaysia


JAGA DISIPLIN... Nasir Sakaran (kiri) diringi Tengku Aziz Raja Abdullah (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian 600 bakal haji pada kursus Haji Perdana peringkat Negeri Sabah 1431/2010 bagi kawasan Pantai Barat di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini.


BAKAL-BAKAL haji Malaysia khususnya dari Sabah diingatkan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji Malaysia semasa mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci Mekah.

Ini penting untuk menjaga nama baik Malaysia sebagai negara Islam yang disegani dan jemaah hajinya yang bersopan santun dan berhemah.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Sakaran berkata, sebab itu Kerajaan Arab Saudi seringkali memuji jemaah haji Malaysia sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak terpuji.

Oleh itu katanya, bakal-bakal haji negeri Sabah diharap terus mengekalkan rekod terbaik yang dipegang selama ini demi menjaga imej baik Malaysia.

"Pelaksanaan ibadat haji memerlukan kekuatan jasmani atau fizikal yang baik.

"Ia memerlukan pergerakan yang banyak seperti mengerjakan tawaf, saie, melontar jamrah. Justeru, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga kesihatan," katanya.

Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah berkata demikian semasa merasmikan Kursus Haji Perdana Musim haji 1431H/2010M Peringkat Negeri Sabah bagi kawasan Pantai Barat di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Hadir sama sempena majlis itu, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Majlis Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji Sabah, Mokthar Yassin Ajam; Pengurus Besar bahagian Bimbingan (Haji), Tengku Aziz Raja Abdullah dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Mohd. Norber Kassim.

Kursus Haji selama dua hari bermula 18 September itu disertai lebih 600 bakal haji dari kawasan Pantai Barat Sabah.

Antara lain ia bertujuan melahirkan jemaah haji yang mempunyai pengetahuan yang mantap dalam sudut ibadat, khususnya ibadat haji sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah.

Ia juga bagi mendedahkan para peserta kepada suasana dan persekitaran jemaah yang ramai semasa melaksana ibadat haji di samping memberi maklumat mutakhir berhubung pengurusan haji sama ada di tanah air atau di tanah suci Mekah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: