Thursday, September 30, 2010

Qistina, Izuddin serasi bersama


Izuddin Salleh dan Qistina Mohamad Nazri semakin serasi sebagai suami isteri.


KERIANGAN serta kegembiraan jelas terpancar pada wajah pasangan naib juara Peraduan Gerbang Cinta MEGA-Utusan Malaysia musim pertama, Izuddin Salleh, 26, dan Qistina Mohamad Nazri, 26.

Selepas tujuh bulan melayari kehidupan berumah tangga, pasangan tersebut ternyata semakin serasi dan kini bersama-sama membantu antara satu sama lain dalam menguruskan rumah tangga.

Ketika ditemui baru-baru ini, pasangan tersebut ternyata masih tidak dapat melupakan apa yang telah berlaku sepanjang mereka menyertai Peraduan Gerbang Cinta musim pertama malah sepanjang bersama mereka hampir satu jam, ucapan terima kasih kepada penaja-penaja serta Utusan Malaysia tidak lekang daripada bibir masing-masing.

‘‘Dengan kemenangan tempoh hari, sedikit sebanyak ia telah membantu meringankan beban kami di samping menjimatkan kos untuk mengadakan majlis persandingan.

‘‘Sebenarnya segala persiapan telah pun dilakukan sedikit demi sedikit tetapi apabila memenangi peraduan ini sekali gus mendapat tajaan, kiranya tercapai jugalah impian kami untuk bersanding dalam satu majlis yang penuh meriah.

‘‘Bagaimanapun kami bersyukur dengan kemenangan tersebut dan apa-apa pun kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penaja serta Utusan Malaysia kerana tanpa mereka rasanya persandingan impian kami mungkin tidak sehebat dan semeriah yang berlangsung pada Februari lalu,’’ ujar Qistina.

Meskipun tidak terlalu dibebani soal kewangan dan persiapan majlis kerana hampir semua persiapan majlis ditanggung para penaja, namun Qistina dan Izuddin masih perlu menyediakan hantaran serta menyediakan cenderahati kepada para tetamu pada malam majlis perkahwinan mereka.

Pasangan eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara ini menyifatkan kemenangan tersebut adalah rezeki yang datang ketika mereka sedang merancang untuk mendirikan mahligai suci pada awal tahun lalu.

Kemenangan pasangan itu juga bermakna mereka merupakan pasangan paling bertuah daripada lebih 10,000 peserta lain yang turut menyertai peraduan anjuran Utusan Malaysia melalui sisipan MEGA, yang bermula sejak 20 Ogos 2009.

Malah mereka juga berjaya mengatasi 10 finalis yang berjaya sehingga ke peringkat akhir selepas memperoleh markah kedua tertinggi hasil pengundian melalui laman web syokkahwin.com dan markah juri.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan hari ini, mereka yang baru sahaja berpindah ke kawasan Wangsa Maju mengakui di awal menjalani kehidupan berumah tangga, terasa agak kekok.

Maklumlah sebelum ini masing-masing hanya menguruskan diri sendiri tetapi apabila tinggal bersama, apa yang dilakukan perlu difikirkan juga pasangan masing-masing.

Menurut Qistina, memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri serta menguruskan rumah tangga tidak banyak bezanya jika dibandingkan ketika zaman bujangnya.

Cuma menurut anak kelahiran Kota Bahru itu, sekarang apa yang dilakukan pastinya perlu berbincang bersama suami di samping sikap toleransi antara satu sama lain.

‘‘Alhamdulillah Din seorang suami yang ringan tulang kerana dia rajin menolong Qis dan boleh dikatakan kerja rumah kami sama-sama buat.

‘‘Saya gembira dengan kehidupan hari ini dan walaupun kami sudah bergelar suami isteri, kami masih lagi menjalani proses suai kenal kerana kami boleh diibaratkan pasangan yang bercinta selepas kahwin,’’ tambah Qistina lagi sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: