Wednesday, September 29, 2010

Berlari di Harbour Bridge


FESTIVAL Larian Blackmores sudah memasuki tahun ke-10.


SIAPA yang tidak teruja apabila diberi kesempatan bercuti sambil menikmati keindahan pemandangan di sepanjang Sydney Harbour Bridge secara percuma? Empat orang rakyat Malaysia telah merasainya baru-baru ini.

Dua orang pemenang, Fong Kah Wei dan Liang Seok Yee tidak dapat mengungkapkan perasaan mereka apabila dipilih untuk mengambil bahagian dalam larian di Festival Larian Balckmores Sydney di Australia Ahad lalu.

Mereka kelihatan bersemangat dan gembira ketika menerima hadiah kemenangan daripada Blackmores di ibu pejabatnya di Petaling Jaya. Ia termasuk pakej pelancongan lima hari empat malam di Sydney untuk pemenang dan pasangan masing-masing.

Fong Kah Wei dan Liang Seok Yee memenangi pertandingan itu selepas mengisi borang dan menjawab dua soalan mudah ketika aktiviti istimewa bersama pengguna yang diadakan pada bulan Julai dan Ogos lalu.

Dalam peraduan anjuran Blackmores itu, dua pengguna dipilih secara elektronik dan setiap pemenang layak membawa seorang pasangan untuk menyertai larian berkenaan.

Menurut Pengurus Kanan Blackmores Malaysia, Gan Siew Yew, festival berkenaan adalah larian tahunan yang dianjurkan untuk mengumpul dana untuk pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi amal.


SEOK YEE (kiri) bersama ibu saudaranya, Liew Phan Fong gembira terpilih sebagai pemenang pertandingan Blackmores.


Tahun ini masuk tahun ke-10 penganjuran larian itu menyaksikan seramai 30,000 peserta dari seluruh dunia mengambil bahagian.

"Sydney Harbour Bridge ditutup kepada trafik untuk memberi laluan kepada pelari merentasi bandar Sydney di sebelah utara dan selatan sepanjang festival ini berlangsung," jelas beliau.

Dalam pada itu, Fong Kah Wei dari Pulau Pinang yang membawa isterinya untuk menyertai larian berkenaan tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya menjadi pemenang.

"Saya tidak percaya terpilih sebagai pemenang. Ini adalah kali pertama saya memenangi pertandingan seperti ini dalam hidup saya," ujarnya jujur.

Seorang lagi pemenang, Liang Seok Yee yang berasal dari Kuala Lumpur pula memilih ibu saudaranya untuk bersama-sama mengikuti lawatan ke Australia dan menyertai festival berprestij tersebut.

"Berjalan dan berlari adalah sebahagian rejim senaman kami dan kami melakukannya dengan kerap selama 45 minit setiap hari. Jadi, kami tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikan larian sepanjang empat kilometer itu," katanya.

Sementara itu, selain larian dan lawatan ke Sydney, pemenang berpeluang melawat kampus Blackmores yang menerima pelbagai anugerah untuk rekaan bangunan mesra persekitaran dan kukuh.

Bangunan pejabat itu juga mempunyai pusat kesihatan dan kemudahan lain seperti kolam renang, pusat senaman dan perkhidmatan urutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: