Thursday, September 30, 2010

JPBC2 tetap menghiburkan



Kejayaan filem seram komedi, Jangan Pandang Belakang Congkak yang meraih kutipan box-office RM6.3 juta, menjadi pembakar semangat untuk Metrowealth (MIG) Production kembali dengan sekual kedua.

Filem arahan Ahmad Idham ini masih mengekalkan pelakon asal seperti Mazlan Pet-Pet, Cat Farish, Lisa Surihani. Azlee Jaafar, Pak Piee dan Bob Kuman. Namun kelibat tunjang utama, Shahizey Sam, tidak pula kelihatan dalam sekual kedua ini.

Bagi Idham, tanpa Shahizey Sam, filem itu tetap mampu berdiri sendiri malah percaya masih berupaya menambat perhatian penonton ke pawagam.

“Ini bukannya ‘solo performance’, tetapi ini merupakan filem yang melibatkan kumpulan. Jadi saya tak rasa tanpa Sam, filem ini akan terjejas. Lagipun saya percaya konsep JPBC itu sendiri sudah kuat.

“Saya juga percaya Mazlan masih ada pengikutnya sendiri. Begitu juga dengan Azlee dan pelakon lain,” katanya yang turut mendapatkan khidmat pelakon jelita, Nora Danish yang membawa watak baru dalam JPBC2.

Menerusi kesinambungan JPBC, jelas Idham, dia cuba mengekalkan ‘rupa’, rasa dan komedi yang sama. Malah turut berkongsi idea dengan penerbit dan para pelakon untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

“Jenaka filem ini lebih kepada jenaka rakyat yang selalu kita dengar, misalnya mandi bunga, jumpa bomoh, berguru dan bertapa dalam masyarakat Melayu. Saya cuma terapkan semua itu untuk hiburan,” kata Idham yang ditemui ketika pra tonton filem tersebut di e@The Curve, Damansara Utama.



Versi baru Pendekar Bujang Lapok

Jika menerusi episod pertama, Punai dan Asmat terpaksa berdepan dengan saka masing-masing, kali ini mengisahkan mereka mendalami ilmu perbomohan untuk melawan kejahatan.

Pak Mor (Azlee Jaafar) yang pernah membantu mereka membuang saka, sebenarnya bersepakat dengan Mustika (Lisa Surihani) untuk menghapuskan mereka demi memperhebatkan lagi ilmunya.

Namun usaha untuk menghapuskan Punai dan Asmat sentiasa menemui jalan buntu. Dalam tempoh itu juga, Asmat dan Punai mencari Wak Ketari (Bob Kuman) untuk meminta pertolongan.

Wak Ketari pula membantu mereka dengan cara menurunkan ilmu perbomohan kepada mereka. Pelbagai syarat dan perkara yang harus dilakukan mereka. Dan semestinya terjadilah perkara lucu yang pastinya menggeletek hati.

Dalam masa sama mereka juga jatuh hati kepada anak Wak Ketari iaitu Seha (Nora Danish) dan masing-masing berebut untuk memikat Seha.

Sekali pandang, jalan ceritanya mempunyai sedikit persamaan dengan filem lakonan P Ramlee, Pendekar Bujang Lapok, yang mana mereka harus bertapa untuk mendalami ilmu serta terpikat dengan anak dara si guru.

Diajukan tentang perkara itu, Idham berkata, ia bergantung pada persepsi penonton. Namun persamaan mungkin terjadi kerana kedua-dua filem bertitik tolak pada kisah masyarakat.

“Idea mungkin sama, kerana cara dan proses serta ritual adalah sama bagi masyarakat Melayu. Saya buat apa yang termampu dan terpulang pada penonton untuk menilainya,” kata Idham.

Menyentuh tentang lakonan, hampir kesemua pelakon membawakan watak dengan baik. Lan Pet-pet misalnya, masih dengan karakter yang suka menjerit-jerit dan Azlee pula ala-ala miang daun keladi.

Cat Farish dan Lisa Surihani agak bersahaja tetapi tetap menghiburkan. Namun percubaan yang baik buat Nora Danish yang buat pertama kalinya melakonkan babak dirasuk. Tidak terkecuali babak seksinya di air terjun.

JPBC2 yang menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang dan Negeri Perlis ini akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 7 Oktober 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: