SYDNEY – Para penerbit rancangan televisyen pencarian model terkenal, Australia’s Next Top Model menanggung malu selepas hos yang juga seorang supermodel, Sarah Murdoch mengumumkan nama pemenang yang salah pada malam kelmarin.
Akhbar-akhbar menyifatkan kesilapan mengumumkan pemenang itu sebagai insiden televisyen yang paling pelik pernah berlaku di Australia.
Sarah yang merupakan menantu kepada taikun media Australia, Rupert Murdoch hampir menangis apabila menyedari bahawa dia tersilap mengumumkan kemenangan Kelsey Martinovich, 19, dari Sydney sebagai pemenang siri terakhir yang disiarkan oleh Foxtel TV secara langsung.
Stesen Foxtel dimiliki oleh syarikat telefon Telstra, News Corp milik Rupert Murdoch dan firma Consolidated Media Holdings.
Martinovich sudah menyampaikan ucapannya sebelum Sarah mendapati pemenang sebenar ialah Amanda Ware dari Gold Coast yang berusia 18 tahun berdasarkan undian orang ramai.
“Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan sekarang. Saya minta maaf. Inilah yang berlaku apabila anda menonton siaran secara langsung. Semua ini gila, gila, gila,” kata Sarah di hadapan 2,000 penonton.
Pengarah Publisiti Foxtel, Jamie Campbell menyalahkan komunikasi yang tidak jelas antara beberapa pengarah siri tersebut di dalam bilik kawalan penyiaran dengan Sarah yang berada di atas pentas.
Juri dan pereka fesyen, Alex Perry memberitahu radio Sydney, Sarah telah melakukan kesilapan besar sambil menafikan tuduhan media yang menyatakan kesilapan itu bertujuan untuk meraih publisiti.
Martinovich mungkin hanya memegang status juara Australia’s Next Top Model buat seketika tetapi ia bukanlah satu berita buruk.
Stesen Foxtel mengesahkan bahawa dia tetap akan menerima hadiah wang tunai sebanyak A$19,360 (RM59,982) dan lawatan ke New York sebagai hadiah sagu hati.
Ware yang diumumkan pemenang baru memenangi hadiah wang tunai A$19,360 (RM59,982), penampilan dalam majalah Harpers Bazaar, kontrak peragaan, lawatan ke New York dan sebuah kereta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: