SELEPAS hampir tiga tahun berehat daripada bidang pengacaraan, aktres dan model popular, Lisa Surihani Mohamed, 24, kembali beraksi di depan kamera sebagai pengacara.
Mengakui dirinya sudah "berkarat" kerana agak lama tidak mempraktikkan bidang tersebut, dalam masa yang sama dia turut teruja kerana tidak sabar mengacarakan dua buah program televisyen.
Salah satunya, Lisa akan bergandingan dengan Marion Caunter, Cheryl Samad dan Sarah Lian dalam program 13 episod berjudul MyEG Xtra Time Bring It! di saluran sukan ESPN.
Program kedua yang akan dihoskan oleh Lisa berjudul Mari Menari di Astro Ria. Dia akan mengacarakan program tersebut bersama-sama Awal Ashaari.
“Bidang pengacaraan ada momentumnya tersendiri. Jadi saya mahu mengasah semula kerja mengacara ini dengan mendapatkan momentum dari lakonan.
“Walaupun saya bakal sibuk dengan karier sebagai pengacara, saya tetap akan menumpukan perhatian terhadap kerjaya lakonan kerana pihak pengurusan yang menguruskan jadual kerja saya,” katanya kepada mStar Online.
Selain itu, duta produk Garnier dan Lip Ice ini turut tampil dalam filem terbarunya berjudul Sekali Lagi… yang akan menemui penonton pada tahun depan.
Menariknya tentang filem ke-11 lakonannya itu, Lisa melakonkan watak sebagai seorang ibu tunggal bernama Shiela dan mempunyai seorang anak bernama Amy (Mia Sara Nasuha).
Buat pertama kalinya, Lisa bergandingan dengan pelakon yang dikaguminya iaitu Shaheizy Sam yang melakonkan watak Arman, lelaki yang mempercayai dirinya mengidap autisme.
“Alhamdulillah, saya menganggap tawaran dan peluang untuk bergandingan dengan Shaheizy Sam sebagai rezeki kerana sebelum ini memang saya teruja dan berhasrat untuk berlakon dengannya sebelum ini.
“Saya pernah menonton lakonannya menerusi drama dan filem, terus-terang saya kagum dengan bakatnya apabila diberikan watak apa sahaja dan pandai pilih watak agar tidak stereotaip.
“Dia juga merupakan seorang yang penuh dengan idea dan saya akan menggunakan peluang ini untuk belajar tentang lakonan dengannya,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Pelakon filem I’m Not Single dan Lagenda Budak Setan itu akui masih melalui proses menilai skrip untuk memahami karakter dan jalan ceritanya.
Lisa menganggap watak Shiela memberikan cabaran tersendiri kerana ceritanya sangat berat dan penuh emosi.
Tetapi dia yakin dengan gandingan bersama pelakon cilik Mia Sara yang kali kedua berlakon dengannya mampu menghidupkan suasana, setelah mereka pernah muncul bersama-sama dalam drama bersiri Adamaya.
“Saya tahu apa yang Mia suka dan tidak serta sudah faham bagaimana hendak handle dia. Saya sangat sayangkan dia dan hubungan kami sangat mesra sehingga dia memanggil saya Mama Lisa apabila kami bertemu di luar.
“Walaupun filem ini mempunyai unsur komedi, tetapi saya rasa tak banyak sebab ia lebih menerapkan unsur kasih sayang dan emosi. Watak saya banyak dibentuk oleh sesuatu kejadian itu. Saya rasa filem ini luar biasa sama seperti filem Ombak Rindu yang saya lakonkan sebelum ini,” beritahunya jujur.
Gadis berdarah campuran Bugis ini juga banyak berlakon drama seperti Obsesi, 3 Janda, Seputih Salju, Mertua Vs Menantu 2, Kapowww! Atoi The Ajaib Boy dan Tudung Ekspres. Dia juga pernah menerima anugerah Pelakon Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: