Thursday, September 30, 2010

Kitar kayu landasan kereta api




MENIKMATI keenakan secawan kopi dalam suasana menjernihkan fikiran pastinya menjadi dambaan sesiapa sahaja terutama setelah seharian mengharungi kesibukan tugas.

Bahkan, setiap hirupan air kopi akan memberi kepuasan tersendiri apatah lagi dengan premis selesa yang menghidangkan pelbagai minuman berkualiti dan lazat untuk dijadikan pilihan.

Kehadiran ke kedai kopi tentu akan lebih bermakna apabila menyedari premis tersebut memberi perhatian khusus terhadap pemuliharaan alam sekitar untuk memastikan bumi didiami sentiasa terpelihara.

Kos lebih tinggi

Tetapi sudah tentunya tidak semua kedai kopi menawarkan keistimewaan itu kepada pelanggannya kerana menyediakan kopi terbaik dengan persekitaran premis yang selesa dan mesra alam menuntut komitmen tinggi.

Namun, jika anda berkunjung ke cawangan Starbucks di Setia Alam, Shah Alam, Selangor anda diberikan ketiga-tiga keistimewaan tersebut.

Tambah menarik, premis itu mengukir sejarah tersendiri apabila apabila menjadi premis pandu lalu kopi Starbucks kedua di negara ini selepas yang pertama di Johor Bahru.

Pengarah Eksekutif Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. (Berjaya Starbucks), Datuk Francis Lee berkata, cawangan pandu lalu berkenaan menggunakan konsep hijau melalui sejumlah inisiatif kitar semula dan elemen jimat tenaga.

“Konsep hijau yang diperkenalkan cawangan berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif Berjaya Starbucks untuk memulihara alam sekitar yang semakin dibelenggu pemanasan global.

“Walaupun kos mempromosikan konsep hijau ini lebih tinggi berbanding cawangan lain, ia perlu dimulakan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara. Seseorang perlu memulakannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Starbucks Setia Alam.


INILAH premis Starbucks yang menekankan pendekatan mesra alam dalam operasinya.


Kalau diperhatikan dengan teliti susun atur dekorasi ditonjolkan dalam cawangan Starbucks pandu lalu berkenaan, ia kelihatan agak berbeza berbanding cawangan lain.

Perbezaan jelas kelihatan pada bahagian dinding dan beberapa meja serta kerusi yang disediakan di premis itu yang menggunakan kayu landasan kereta api kitar semula. Ia didatangkan khusus dari negara sekitar Asia Tenggara.

Kehalusan kayu landasan kereta api kitar semula berwarna perang dan berkilat itu ternyata menyerlahkan lagi suasana premis berkenaan yang menggunakan konsep hijau.

Kitar air hujan

Selain penggunaan kayu landasan kereta api yang dikitar semula, Francis turut berbangga dengan pendekatan sistem kolam takungan air hujan yang terdapat pada cawangan pandu lalu berkenaan.

“Dengan mempraktikkan pendekatan sistem takungan air hujan ini, sumber air dapat dijimatkan kerana ia menggunakan sumber air hujan.

“Sistem ini akan bertindak menakung air hujan di dalam kolam yang disediakan di luar premis,” ujarnya.

Beliau menambah, air hujan berkenaan akan ditapis sebelum disalurkan ke dalam tangki untuk kegunaan di dalam bilik air. Ia juga akan digunakan sebagai kegunaan seharian dalam membersih lantai dan sebagainya.


STARBUCKS menunjukkan komitmen yang tinggi dalam tanggungjawab sosialnya ke atas alam sekitar.


Jelasnya, pendekatan yang digunakan bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan sumber air tetapi memperkasa sumber air semula jadi.

Kolam takungan yang disediakan turut dapat memberi pengalaman baru dan menyuntik suasana mendamaikan kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Francis memberitahu, pencahayaan yang digunakan dalam cawangan tersebut turut mengalami perubahan berbanding cawangan lain di negara ini.

“Cawangan pandu lalu ini menggunakan mentol LED yang semakin mendapat tempat di dalam pasaran kerana mampu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 80 peratus.

“Mentol LED ini juga dipercayai mempunyai jangka hayat lebih lama berbanding mentol biasa sekali gus dapat mengurangkan kos operasi,” katanya.

Gaya hidup hijau

Selain pencahayaan yang lebih cerah menggunakan mentol LED, beliau menambah, tingkap besar digunakan untuk menerima pancaran sinaran matahari agar dapat memberi suasana semula jadi di dalam premis.

“Kita juga menggunakan warna lebih cerah dan bahan polikarbonat untuk mengurangkan haba di dalam premis ini.

“Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan, langsir, sofa dan perabot lain turut digunakan agar mereka merasai suasana seperti di rumah ketika menikmati seteguk kopi.


SERBUK kopi yang telah digunakan disimpan dan diberikan kepada orang ramai untuk dijadikan baja pokok.


“Kami bukan sekadar menjual minuman kopi tetapi gaya hidup dan membuatkan para pelanggan berasa hebat,” katanya.

Tegas Francis, bukan sekadar dekorasi dan bahan-bahan di dalam premis mementingkan pemuliharaan alam sekitar, malah kopi yang sudah dipakai turut dipelbagaikan kegunaannya.

“Biji-biji kopi yang digunakan dalam pembuatan kopi turut dikitar semula untuk dijadikan baja.

“Kita turut memberi baja-baja ini secara percuma kepada orang ramai yang ingin taman mereka mempunyai haruman kopi,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan Setia Alam sebagai lokasi membina Starbucks pandu lalu pertama Lembah Klang, beliau berkata, ia bersesuaian dengan konsep eko yang ditekankan pemaju dalam pelaksanaan bandar terancang Setia Alam.

“Berjaya Starbucks sentiasa berhasrat untuk membina lebih banyak konsep pandu lalu.

“Bagaimanapun, ia sukar dilaksanakan di kawasan Lembah Klang kerana ia memerlukan tanah yang besar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: