Thursday, September 30, 2010

Salsa di Sepang Goldcoast


Rosalind Lim bersama Pengurus Resort Golden Palm Tree, Bill Vincent menunjukkan poster Kejohanan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010.


TARIAN Latin seperti salsa dan tango semakin menjadi fenomena terutama di kalangan penghuni kota ketika ini.

Sebahagiannya menjadikan ia sebagai riadah menyihatkan badan dan mengisi masa lapang, namun ada juga yang terbabit secara serius sehingga ke tahap menyertai pertandingan dalam dan luar negara.

Memenuhi minat penggemar tarian tersebut, buat julung kalinya Resort Golden Palm Tree, Sepang, Selangor, bakal menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010 (GPTIDC).

Pertandingan yang akan berlangsung selama dua hari bermula 28 Oktober ini mendapat penyertaan dari para penari amatur dan profesional dari seluruh dunia.

Wakil penganjur kejohanan, Rosalind Lim berkata, pertandingan itu akan menyaksikan 100 pasangan yang akan membuat persembahan dengan pelbagai jenis tarian.

‘‘Melalui pertandingan ini, kita bukan sahaja dapat menyaksikan keindahan tarian ini tetapi juga satu platform untuk mencungkil bakat penari-penari tempatan dan mempopularkan tarian sebagai aktiviti yang sihat untuk orang ramai,’’ ujarnya baru-baru ini.

Beliau yang juga mempunyai pengalaman dalam bidang tarian selama 10 tahun, menjelaskan penyertaan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan biarpun pertama kali dianjurkan.

‘‘Dalam penganjuran ini, kami menerima penyertaan dari lebih 18 buah negara termasuk dari Itali, Russia dan England,’’ ujarnya lagi.

Tambah Rosalind lagi, dalam pertandingan itu pelbagai jenis tarian akan dipersembahkan termasuklah salsa dan tango Argentina.

Jelasnya lagi, pada persembahan tersebut, penonton akan di hidangkan dengan pelbagai jenis tarian yang akan diadakan di dewan besar resort mewah ini yang mampu memuatkan lebih 1,300 penonton.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, penonton yang berhasrat untuk menyaksikan pertandingan tersebut boleh memilih untuk menyaksikan pertandingan tersebut pada siang hari mahu persembahan yang berlangsung pada malam.

‘‘Bagi yang ingin kedamaian serta ketenangan mereka boleh menempah tiket pada sebelah malam yang bermula seawal 6.30 petang sehingga 11.30 malam,’’ ujarnya lagi.

Ceritanya lagi, penonton bukan sekadar berpeluang untuk menyaksikan keunikan tarian tersebut tatapi turut disediakan dengan hidangan makan malam.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan pertandingan tarian tersebut boleh menempah tiket yang berharga RM300 seorang sehingga 800 atau menghubungi terus Golden Palm Tree.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: