Tuesday, September 28, 2010

Ahmad Nawab kesal banyak fakta P Ramlee salah, karut

Kebanyakan fakta dan cerita mengenai Seniman Agung Negara, Tan Sri P Ramlee, adalah tidak benar dan juga dianggap mengarut.

Rakan baiknya yang juga Seniman Negara, Datuk Ahmad Nawab berkata, cerita-cerita karut itu keluar disebabkan ada antara mereka yang mahu meraih populariti secara cepat dan melariskan sesebuah cerita.

Menurutnya, puncanya juga kerana ketika P Ramlee masih hidup, tiada pihak yang sudi menemu bualnya dan bertanya kisah hidupnya yang sebenar.

“Disebabkan itulah ramai yang mendapat fakta salah, yang mengetahui cerita hidupnya secara tepat adalah rakan-rakan terdekatnya sahaja, malah lebih mengarut ialah ada yang sanggup kata tidur sebantal dengan P Ramlee, sedangkan setahu saya beliau tidur sebantal dengan isterinya sahajalah," katanya.

Menurutnya, cerita-cerita palsu mengenai P Ramlee seharusnya dihentikan.

"Ada sampai ada yang kata beliau cipta lagu dalam tandas. Mana boleh macam itu. Bagi masyarakat zaman kini biarlah kita menghargai karya dan seninya. Janganlah reka cerita bukan-bukan.

“Dalam buku hasil tulisan kebanyakan penulis mengenai P Ramlee juga ada banyak fakta silap dan saya berasa kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan koleksi gambar peribadinya bersama P Ramlee kepada Arkib Negara cawangan Pulau Pinang yang diambil pada tarikh 5 September 1965.

Menurutnya, perkara paling dikesalkan berlaku pada tahun 1973 hingga ke 1979 apabila terdapat sebuah stesen penyiaran di negara ini yang langsung tidak memainkan lagu-lagu P Ramlee sehinggalah usahanya untuk menaikkan lagu P Ramlee bermula pada penghujung tahun 1970-an.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff dan Pengarah Arkib Negara Malaysia cawangan Pulau Pinang, Mohd Naseer Malim.

Ahmad Nawab, satu-satunya artis lama dan rakan P Ramlee yang pertama memberikan sumbangan fotonya kepada Arkib Negara di Pulau Pinang.

Gambar tersebut dirakamkan ketika Ahmad Nawab dan P Ramlee mengadakan 'roadshow' Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Sarawak.

Hubungan Ahmad Nawab dan P Ramlee bagaikan adik beradik dan berlangsung selama sembilan tahun.

Bercerita pengalamannya, Ahmad Nawab berkata, beliau mula mengenali rakan seperjuangannya yang juga rakan senegeri itu ketika pertemuan pertama di Alor Setar, namun Seniman Agung itu hanya mengenali bapanya, Nawab yang giat bermain muzik di Pulau Pinang.

Namun, kunjungan P Ramlee ke Kuala Lumpur pada tahun 1964 menjadikan hubungan mereka lebih rapat apabila Allahyarham meminta Ahmad Nawab mencipta lagu-lagu untuk filemnya.

Ahmad Nawab berkata, filem Sitora adalah filem pertama yang memperkenalkan lagunya dan seterusnya beliau terus menyumbangkan lagu untuk filem Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan banyak lagi.

“Masih ramai yang tidak tahu sebenarnya P Ramlee tidak pandai bermain alat muzik. Dalam filem Ibu Mertuaku, beliau hanya menggayakan lenggok meniup saksofon, sedangkan peniup sebenarnya ialah Yusof B.

“Dia tidak pandai main alat muzik, tetapi minatnya dalam muzik sangat tinggi sehingga beliau mampu menggayakan cara memainkan alatan tersebut. Beliau mampu mengarah, berlakon dan mencipta lagu. Mana ada lagi individu seperti beliau. Di Hollywood pun tiada,” katanya.

Ahmad Nawab juga sempat mendedahkan beberapa rahsia menarik mengenai P Ramlee. Antaranya P Ramlee suka makan tembikai dicicah dengan kicap.

Menurutnya, dalam kunjungannya ke Kelantan, Allahyarham, pada zaman di kemuncak popularitinya, hampir diberi makanan beracun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: