TANGGUNGJAWAB sebagai seorang ibu tidak pernah menghalang seseorang itu untuk meneruskan kerjaya mereka sebagai seorang wanita berkerjaya. Melakukan dua perkara dalam satu masa juga adalah satu cabaran buat seseorang wanita.
Apatah lagi jika kerjaya yang dijalani bukan kerjaya biasa. Sebaliknya ia menuntut lebih banyak pengorbanan termasuk masa, dan komitmen yang sukar untuk diberi kompromi. Kerja dan kehidupan peribadi dalam masa yang sama harus berjalan seiring.
Namun perkara itu tidak menimbulkan masalah buat empat ibu popular Malaysia seperti Erra Fazira, Ziana Zain, Lisdawati dan Wardina Safffiyah Fadlullah. Walaupun bergelar ibu, mereka masih menjalankan karier mereka sebagai seorang selebriti tanpa masalah.
Kebijaksanaan membahagi masa, kecintaan terhadap kerjaya dan tahu bagaimana memilih perkara utama membuatkan Erra, Ziana, Lisdawati atau Lisda dan Wardina yang berkongsi status sebagai duta produk kecantikan pelangsing badan, SlimWorld menguruskan segala hal dengan sempurna.
Umpama seperti supermama, keempat-empat selebriti cantik ini malah semakin ligat di pentas seni walau dalam masa yang sama sibuk mengurus rumah tangga dan anak-anak.
Bagi pelakon Lisdawati, 32 tahun, rezekinya selepas melahirkan anak kedua, Nur Aina Fazheesya yang kini mencecah usia setahun semakin murah. Selain begitu terkenal dengan karakter antagonis sebagai ular emas dalam drama rantaian Ular Emas yang banyak memberi kesan terhadap kerjayanya, dia kini sedang bersedia untuk menjadi salah seorang mentor dalam program realiti terbitan Astro, Mari Menari. Turut terlibat sebagai mentor dalam program tersebut adalah Erra, Zul Huzaimi dan Ferhad.
Mengulas tentang kesan drama tersebut, Lisda yang perlu memberikan tip dan semangat kepada peserta yang menyertai pertandingan itu berkata: "Watak itu sangat berkesan kepada diri saya sehinggakan ada yang memanggil saya ular emas.
"Sepatutnya saya dapat watak lain dalam drama itu, tetapi saya minta untuk membawakan watak Ular Emas kerana saya mahu mencuba satu watak yang lain daripada yang pernah saya bawa sebelum ini. Ternyata ia berhasil."
|
|
Selain membuat persediaan untuk menjadi mentor Mari Menari, sejak 27 September lalu, dia telah sibuk di lokasi penggambaran drama Aku Bukan Maryam.
"Drama itu mengisahkan tentang dua orang wanita yang bercinta dengan seorang lelaki yang sama," katanya tentang drama yang bakal menjalani penggambaran di Mekah awal tahun hadapan.
Erra santai
Sedang sibuk dengan pementasan teater Muzikal Tun Mahathir, kata Erra, 36 tahun, dia tidak mahu berasa tertekan hanya kerana diberi kepercayaan memegang watak sebagai isteri kepada Tun Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah.
Ini kerana selain sudah sedaya upaya membuat persediaan rapi, dia mahu khalayak menikmati 'pelayaran' Tun Siti Hasmah dengan sederhana.
"Jujurnya, saya tidak banyak babak dalam pementasan ini. Watak saya hanya bermula pada pertengahan pementasan. Maka saya rasa, tekanan yang mungkin dirasai Zizan dan Esma Daniel yang membawa watak Tun Mahathir tidak begitu saya rasai," katanya.
Eksperimen Ziana
|
|
Sudah lama tidak mempunyai album dan lagu baru, ia telah menerbitkan kerinduan yang bukan kepalang kepada ibu anak empat, Ziana Zain. Justeru dia bertekad, tahun hadapan dia wajib keluar dengan album baru. Sementelah katanya, tiga lagu sudah disiapkan, hanya tinggal beberapa lagu sahaja lagi yang perlu dilunaskan.
"Bila buat persembahan, saya terpaksa menyanyikan lagu lama. Sebenarnya, saya teringin menyanyikan lagu baru. Jadi sebab itu saya nak cepat buat album baru untuk peminat saya juga," ujarnya.
Tambahnya, dia bersedia memberi peluang kepada komposer-komposer baru untuk lagu album barunya nanti.
"Saya bersedia untuk menjadi bahan eksperimen dengan menyanyikan lagu-lagu yang dicipta oleh komposer-komposer baru," katanya yang juga bersedia untuk menukar konsep sesuai dengan peralihan tahun.
Wardina sambung belajar
Wardina Saffiyah, 31 tahun, tidak pernah berganjak daripada pendiriannya yang mula memakai tudung sejak hampir 10 tahun lalu. Menjadi antara artis wanita muda yang tidak memperdulikan keadaan dunia seni yang hampir tidak boleh berkompromi dengan imejnya, dia yang pernah ditolak menjadi kulut wajah majalah hanya kerana bertudung kini lega dengan senario dunia seni yang semakin berubah.
Kehadiran banyak muka baru yang semakin sopan dan manis bertudung memberi perspektif positif terhadap dunia seni.
"Jika dahulu mungkin tidak ramai artis bertudung tetapi sekarang sudah ramai. Hanya setiap individu perlu mempunyai identiti tersendiri," katanya.
Bercakap mengenai perkembangan terbarunya selain ligat menulis buku, Wardina memberitahu, dia kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Psikologi di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
"Walaupun sudah ada anak, saya tetap mahu meneruskan pengajian kerana itu penting dan sesuai dengan penulisan saya. Kalau boleh, saya mahu cuba buktikan walaupun menggalas tugas sebagai isteri, ibu dan penulis serentak, dalam masa yang sama, saya juga boleh menuntut ilmu," katanya yang kini turut menjadi duta kepada ubat gigi, Mukmin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: