KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini Rabu, menangguhkan perbicaraan vokalis kumpulan Spring, Ameng selepas dimaklumkan anaknya sedang sakit.
Tahap kesihatan anak Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguamnya, Kamarul Zaman Abdul Rahman.
"Anak tertuduh yang berusia dua tahun telah dimasukkan ke Hospital Besut, Terengganu bagi menerima rawatan penyakit asma sejak empat hari lalu.
"Tertuduh memerlukan sedikit masa kerana mengalami kesukaran untuk hadir ke mahkamah," kata Kamarul Zaman di sini, Rabu.
Ini kerana Ameng terpaksa berada di sisi anaknya di Terengganu dan bimbang tidak dapat hadir ke mahkamah jika perbicaraan diteruskan.
Majistret Zaki Asyraf Zubir kemudiannya menetapkan 12 Oktober ini untuk Ameng membela diri atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.
Ameng yang popular dengan lagu Sampai Hati kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Pada 7 September lalu, Zaki Asyraf memerintahkan dia untuk membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan telah menimbulkan prima facie terhadapnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di sini, pada pukul 3.45 pagi, 2 April lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: