PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin,31, mengakui hubungan yang tidak sehaluan menyebabkan dia mengambil keputusan nekad untuk mengakhiri ikatan pertunangan pada dua bulan lalu.
Jelas Farah, keputusan dibuat selepas memikirkan secara rasional perhubungan tersebut dan tidak mahu peristiwa penceraiannya dengan bekas suami Dr Fariz Yahya berulang kembali.
"Kami berkawan setahun tetapi bertunang hanya bertahan selama sebulan sahaja. Saya banyak berfikir dan menilai perkara-perkara yang saya nampak berlaku sepanjang kami berkawan.
"Pada mulanya saya boleh terima apa sahaja yang datang dan menganggap ia sebagai dugaan dalam sesebuah perhubungan, namun semakin hampir pada tarikh perkahwinan, saya seperti dapat petunjuk dari Allah untuk buat keputusan ini," katanya.
Farah Asyikin yang mengikat tali pertunangan dengan jejaka dari Singapura pada Jun lalu sepatutnya mengakhiri zaman jandanya pada Julai lalu dan menetap di Macau, China.
"Persiapan kahwin memang saya dah buat serba sedikit memandangkan kami merancang untuk bertunang sekejap sahaja.
"Malah yang paling ralat, saya terpaksa menolak tawaran berlakon dalam Muzikal Tun Mahathir kerana pada mulanya merancang untuk ikut dia yang bekerja di Macau," katanya.
Bagaimanapun, menurut Farah, dia reda dengan ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa, namun begitu dia tidak pernah sekali-kali menutup pintu hatinya kepada lelaki.
"Saya pasrah dan reda dengan apa yang terjadi, semuanya sudah tertulis. Saya tidak serik tetapi lebih berhati-hati setelah berbagai-bagai dugaan yang datang kepada saya.
"Bagaimanapun saya tidak sekali-kali menutup pintu hati untuk berkawan dengan mana-mana lelaki, jika ada jodoh Insya-Allah ia akan dipermudahkan," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru yang mana dia berduet dengan Shamrin Fotograf berjudul Kamu Aku Satu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: