Thursday, September 2, 2010

Eby tolak dua tawaran


EBY bakal muncul dengan sebuah single terbaru tidak lama lagi.


SUDAH lama tidak mendengar berita terbaru tentang jejaka yang mencipta nama menerusi program realiti TV, Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Eby Kornelius.

Berpeluang menemui jejaka kelahiran Sabah itu pada rakaman Hari Raya Selangor FM yang berlangsung di One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini, Eby membawa perkhabaran terbaru tentang dirinya.

Dia kini sedang menyiapkan single terbarunya berjudul, Pertama Ku yang mengisahkan tentang pengorbanan seorang isteri.

"Sebelum ini agak kurang lagu yang dihasilkan berkisar tentang pengorbanan seorang isteri, biasanya yang ada cuma kisah percintaan dan perpisahan," ujarnya.

Selain menyanyi, Eby juga dikenali sebagai pelakon, khususnya pernah membintangi filem yang mengandingkan dirinya bersama Dafi dan Samuel Rizal, Sayang You Can Dance.

Namun, dalam kesibukannya menceburi dua bidang tersebut, Eby tidak terkecuali menerima beberapa tawaran untuk menjadi penyampai radio.

Menurut Eby, 27, dia baru-baru ini terpaksa menolak tawaran daripada dua stesen radio untuk menjadi penyampai radio kerana bimbang tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya.

"Saya meraih dua tawaran untuk menjadi penyampai radio daripada dua buah stesen radio swasta pada awal tahun ini.

"Namun, saya terpaksa menolak kedua-dua tawaran tersebut kerana kerja itu tetap.

"Saya bimbang kalau secara tetap, saya tidak boleh memberikan komitmen sepenuhnya kerana pada masa yang sama yang sibuk dengan nyanyian dan berlakon," jelasnya.

Curi makanan

Menurut Eby lagi, disebabkan dia juga banyak ditawarkan berlakon, justeru jika dia menerima tawaran sebagai penyampai radio secara tetap, berkemungkinan agak sukar buat dirinya untuk mengatur komitmen kerja tersebut dengan sempurna.

"Selepas berfikir panjang, saya akhirnya membuat keputusan terpaksa menolak kedua-dua tawaran itu.

"Kebetulan juga saya meraih satu lagi tawaran sebagai penyampai radio sambilan iaitu di Sabah FM, yang ini saya fikir saya boleh menerimanya kerana ia cuma scara sambilan," katanya.

Bersempena dengan Ramadan kali ini, tidak janggal jika ingin berkongsi pengalaman masa kecil Eby ketika menjalani ibadah puasa pada bulan yang mulia ini.

Menurut Eby ketika berusia tujuh tahun, dia dan beberapa rakannya mempunyai suatu hobi yang agak pelik dan nakal.

Mereka gemar mengunjungi masjid sepanjang bulan Ramadan. Namun katanya, tujuan dia dan rakan-rakannya pergi ke masjid bukan untuk mengerjakan solat tarawih tetapi kerana tertarik dengan juadah makanan yang disediakan untuk santapan jemaah selepas solat tarawih.

"Kami bukan sekadar mengambil makanan itu dengan tangan tetapi turut membawa beg plastik untuk membungkus makanan itu dan dibawa pulang.

"Kalau kembali terkenang semula peristiwa itu saya akan tersenyum sendirian mengenangkan perangai nakal semasa zaman kanak-kanak," tuturnya.

Menurut Eby, pada kebiasaannya sepanjang bulan Ramadan, kurma dan air suam menjadi juadah utama untuk berbuka puasa dan bersahur.

"Air suam dan buah kurma saya akan makan dahulu sebelum menjamah juadah lain kerana mengikut ia sunah Nabi.

"Selain itu saya suka makan martabak Jawa," ujarnya yang akan beraya di Sabah tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: