TOKYO – Perokok-perokok di Jepun mula bertindak menghentikan tabiat menghisap rokok manakala sejumlah lagi membeli rokok untuk tujuan menyimpan sebelum harganya meningkat lebih 25 peratus esok.
Harga beberapa jenama rokok akan meningkat lebih 25 peratus ekoran tindakan kerajaan meningkatkan cukai rokok.
Di Tokyo, perokok dibenarkan merokok di dalam bar dan restoran tetapi mereka dilarang menghisap rokok di laluan pejalan kaki.
“Kami menjangkakan satu tindakan tergesa-gesa (pembeli rokok membeli pada saat akhir sebelum Jumaat ini) terutamanya sehari sebelum harga rokok dinaikkan,” kata Yayoi Sugihara yang merupakan jurucakap sebuah kedai rangkaian menjual rokok, Lawson.
Menurutnya, setiap kedai sudah meningkatkan bilangan stok bagi memenuhi permintaan pembelian di saat akhir.
Berdasarkan beberapa laporan, kenaikan harga itu akan meningkatkan bilangan pencuri rokok.
Di bandar Mooke, 100 kilometer ke utara Tokyo, seorang penganggur lelaki berumur 47 tahun ditangkap pada Ahad lalu kerana cuba melarikan diri dengan dua kartun rokok dari sebuah pasar raya.
Kerajaan Jepun telah meluluskan syarikat Japan Tobacco (JT) yang menguasai pasaran rokok negara itu untuk meningkatkan harga rokok pada kadar kira-kira 100 yen (RM3.68) untuk sekotak rokok yang mengandungi 20 batang.
Harga rokok jenama Midl Seven akan meningkatkan dari 300 (RM11.06) yen kepada 410 yen (RM15.12) setiap kotak rokok.
Setiap kotak rokok Seven Stars akan dijual pada harga 440 yen (RM16.23) naik daripada 300 yen (RM11.06).
Kerajaan dilaporkan berharap akan menaikkan harga rokok untuk setiap kotak pada 700 yen (RM25.82) hampir menyamai harga di Eropah dan Amerika Utara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: