Thursday, September 30, 2010

Berhari raya di perbatasan


Zulkifeli mohd. zin menyertai pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi banding mengerjakan solat sunat Aidilfitri baru-baru ini.


KETIKA umat Islam meraikan Aidilfitri dalam suasana gembira, sebahagian besar anggota keselamatan tabah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memastikan kedaulatan negara terus terbela.

Belantara tebal juga merupakan antara kawasan operasi pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara tidak dicerobohi oleh anasir-anasir berbahaya.

Walaupun beraya jauh di perbatasan tanpa keluarga tersayang, anggota terlibat tetap setia menjalankan tugas yang diamanahkan.

Sungguhpun begitu, jauh di sudut hati setiap petugas keselamatan negara yang berada di kawasan operasi jauh di tengah belantara, pasti terdetik kesayuan tatkala takbir raya bergema di corong telinga.

Apa yang pasti, wajah-wajah insan kesayangan akan terlintas di benak fikiran satu persatu sekali gus menambah kesyahduan di pagi lebaran yang mulia.

Namun tanggungjawab adalah keutamaan bagi mereka dalam memastikan negara tetap teguh, aman dan sejahtera daripada anasir-anasir luar.

Bagi pegawai dan anggota yang sedang bertugas di Operasi Banding ketika lebaran, mereka sedikit pun tidak menyesal atau mengeluh walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta.

Malah, mereka berbangga dengan pengorbanan yang dilakukan demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.

Itulah erti pengorbanan seorang satria dan perwira negara yang mencurahkan keringat tidak kira masa dan jarak demi untuk mempertahankan kesejahteraan dan keamanan yang dinikmati kini.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini ternyata cukup istimewa bagi anggota yang terlibat dalam Operasi Banding kerana menerima kunjungan tampuk pemerintahan tertinggi Tentera Darat (TD) iaitu Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zain dan barisan pegawai kanan ke kawasan Operasi Banding untuk meraikan lebaran bersama pegawai dan anggota yang bertugas.

Turut hadir, Panglima Medan Tentera Darat (PMTD) Lt. Jen. Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima 2 Divisyen, Mej. Jen. Datuk Mohd. Noor Daud.

Kehadiran delegasi pimpinan tertinggi TD cukup bermakna apabila mereka turut berbesar hati berbuka puasa bersama anggota tentera pada hari terakhir Ramadan seterusnya bersama-sama semua warga Tentera Darat yang menjalankan operasi, melaungkan takbir Aidilfitri di surau MK Taktikal 749.

Zulkifeli juga membantu menyediakan juadah hari raya seperti ketupat, membakar lemang, mengacau dodol dan beberapa menu lain.

Warga Batalion Ketiga Rejimen Sempadan yang terdiri daripada pelbagai kaum turut bergotong-royong menyediakan menu ala 1Malaysia seperti capati, roti canai, char kue tiau, tahu sumbat dan ikan bakar untuk dinikmati pada malam raya.

Sesungguhnya, keprihatinan dan pengorbanan kepimpinan tertinggi TD yang sanggup meninggalkan keluarga tercinta untuk bersama-sama pegawai dan anggota yang sedang menjalankan operasi di perbatasan negara amat dihargai.

Pada awal pagi Syawal, kesemua tetamu, pegawai dan anggota menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama dan disusuli dengan Majlis Jamuan Aidilfitri.

Pada majlis itu, Panglima Tentera Darat turut menyampaikan bungkusan kuih raya serta sumbangan khas daripada kerajaan negeri Perak dan sumbangan kepada warga TD yang bertugas.

Dalam ucapannya, Zulkifeli menyifatkan keikhlasan dan pengorbanan yang dipamerkan oleh semua pegawai dan anggota untuk bertugas di hari lebaran begitu besar kerana mereka sanggup meninggalkan keluarga demi melaksanakan amanah mempertahankan negara tercinta daripada sebarang ancaman keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand.

Di atas kesedaran itu, beliau terpanggil mengorbankan kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga untuk meraikannya bersama semua anggota yang sedang menjalankan operasi di sekitar kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Beliau bersama pegawai kanan TD turut melawat di beberapa lokasi hadapan iaitu di kawasan Ban Di Ba, Ban Dee Sameo, Kem Gubir, Kem Batu Melintang, Pos Tiang Bendera dan beberapa lokasi lain.

Zulkifeli turut menyerahkan sumbangan bungkusan raya dan sumbangan peribadi untuk anggota yang bertugas di setiap lokasi.

Jika dahulu kawasan sempadan negara dikawal untuk mengelak daripada ancaman tindakan sabotaj dan kekejaman gerila Parti Komunis Malaya (PKM), kini senarionya telah berubah sama sekali.

Tugas tentera bukan lagi memburu serta menggempur komunis tetapi lebih kepada membendung kes-kes penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut Ketua Kompeni Bravo, Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja PARA (17 RAMD Para) Mejar Mohd. Syafik, 34, ancaman komunis mungkin telah lama berlalu tetapi ia tidak bermakna anggota tentera boleh bergembira dan bersikap sambil lewa terhadap tugas mereka.

"Jika dahulu saban malam anggota tentera diburu keresahan diserang hendap oleh gerila komunis, tapi kini kami terus memikirkan tentang keamanan yang perlu dipertahankan untuk negara terus maju dan membangun ke arah Wawasan 2020.

"Tugas dan beban yang dipikul sejak dahulu hingga kini tetap sama kerana elemen-elemen yang boleh mengancam kedaulatan negara sentiasa berubah-ubah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: