FIGURA bernama Bill Mirecki ini pernah menyimpan hasrat untuk bergelar seorang detektif atau ejen penyiasatan persekutuan ketika di alam universiti dulu.
Malah, dengan berbekalkan ijazah berganda dalam bidang Undang-undang Jenayah dan Perniagaan, beliau yang kini memegang jawatan Naib Presiden Hush Puppies (HP) International ini sebenarnya layak untuk bergelar pegawai penyiasat atau ejen khas kerajaan.
Namun, pengalaman kerja yang diperolehi oleh anak jati Chicago, Amerika Syarikat di sebuah kedai kasut sejurus tamat pengajian di universiti ternyata mengubah segala-galanya.
Menurut Mirecki dalam temuramah eksklusif bersama Mingguan mStar baru-baru ini, beliau sama sekali tidak menduga pekerjaan yang bermula sebagai kerja sambilan dan suka-suka di kedai kasut milik kawan bapanya itu akhirnya membuka lapangan kerja dalam bisnes kasut.
“Ketika di usia remaja, saya selalu berhasrat untuk berkhidmat sebagai detektif atau ejen khas untuk pihak kerajaan. Malah, ketika belajar di peringkat universiti dulu pun, saya melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang Jenayah dan Perniagaan kerana minat yang mendalam dalam bidang penyiasatan.
“Namun, semuanya berubah setelah saya bekerja di kedai kasut milik rakan bapa selepas tamat pengajian di universiti. Bermula sebagai kerja sambilan dan suka-suka, minat terhadap perniagaan kasut kian bercambah apabila saya didedahkan dengan lebih terperinci terhadap selok-belok bisnes itu,” katanya.
Berbekalkan tujuh tahun pengalaman di kedai kasut itu, bapa kepada dua orang anak ini terus mengorak langkah apabila beliau menyertai rangkaian jenama kasut popular HP sekitar tahun 2000.
Maka, bermulalah pembabitan Mirecki secara lebih mendalam dan profesional terhadap dunia pembuatan dan pemasaran jenama kasut itu.
Dia yang kini memegang antara jawatan terpenting dalam rangkaian jenama HP telah melalui segala proses yang berkaitan dengan kasut bermula daripada pembentangan idea dan rekaan sehinggalah ia dipamerkan di kedai-kedai.
Justeru itu, apabila ditanya mengenai perkembangan bisnes kasut pada hari ini, Mirecki berkata, revolusi pada pasaran, trend dan selera pengguna hari ini berkembang dengan drastik dan pantas sekali.
“Pasaran kasut pada hari ini berubah secara drastik. Ia dipengaruhi oleh perubahan selera pengguna, revolusi fesyen yang berterusan dan kemunculan pelbagai jenama dan rekaan kasut yang baru.
“Bayangkanlah, betapa industri kasut telah berubah secara radikal sepanjang 10 tahun yang lalu dan ia akan terus berkembang mengikut perubahan fesyen, teknologi dan permintaan semasa,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Mirecki atas kesedaran akan persaingan yang kian sengit dalam pasaran kasut hari ini, HP juga turut sama bertindak dalam membawa beberapa perubahan pada rekaan dan konsep koleksi kasutnya.
“Kami (HP) turut mengorak langkah dalam mengukuhkan peratusan penguasaan jenama HP di pasaran. Justeru itu, kami terus menampilkan rekaan dan koleksi baru dari masa ke semasa seperti Manhattan Collection yang berwarna-warni, segar dan kontemporari dan koleksi The Body Shoe, bersesuaian dengan selera pasaran hari ini.
“Pembaharuan dan sentuhan kontemporari adalah penting bagi membolehkan kami terus bersaing dalam pasaran selain dapat menarik pengguna yang baru. Namun, HP tidak pernah berkompromi terhadap kualiti, keselesaan dan rekaan kasut yang menjadi junjungan kami sejak dulu,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanan kariernya dalam bisnes kasut, Mirecki akui dirinya puas dan gembira dengan keputusannya untuk terjun ke dalam bisnes kasut hampir 17 tahun yang lalu.
“Jika diimbas semula, keputusan saya untuk berkecimpung secara serius dan profesional dalam bisnes kasut berbanding dengan kerjaya yang pernah saya impikan ketika remaja dulu adalah satu risiko besar yang berbaloi.
“Hari ini, saya boleh tersenyum puas dengan apa yang saya lakukan dan kecapi dalam bidang ini kerana bisnes kasut bukan hanya sekadar profesion tetapi bagaikan kehidupan saya,” jelasnya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: