Thursday, September 30, 2010

A Moment in English 2010 menyeronokkan


Sebahagian daripada para pelajar yang menyertai Program A Moment in English 2010 di Taman Budaya Negeri, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Sama ada mahu menerima atau tidak, dalam tuntutan kehidupan masa kini, penguasaan bahasa Inggeris ternyata begitu penting dan tidak boleh terus dikuis ke tepi.

Ia salah satu bahasa utama bagi mendalami ilmu-ilmu duniawi, bahasa untuk jaringan perniagaan antarabangsa dan perhubungan diplomasi antarabangsa.

Dalam konteks kehidupan individu, dengan penguasaan yang mantap ia bukan sahaja membantu mengangkat pencapaian pelajaran tetapi juga dalam soal komunikasi dan lapangan kerjaya yang penuh persaingan.

Itulah kenyataannya dan di peringkat sekolah dan bagi mengukur prestasi anak negeri dalam mengejar kecemerlangan, pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjadi penentu.

Dengan penguasaan dwibahasa sekurang-kurangnya, ia menambahkan keyakinan seseorang individu terhadap diri dan keupayaan yang perlu diterap semasa di bangku sekolah.

Kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak bersama dengan pihak kementerian Pelajaran berusaha untuk melonjakkan pencapaian ini ketika bahasa Inggeris masih belum dipertuturkan meluas oleh pelajar di luar bilik darjah.

Program A Moment in English merupakan salah satu langkah yang diambil dengan kerjasama syarikat ExxonMobil sejak 2002 dan program tahunan itu disertai lebih 800 pelajar tahun ini, pertambahan sekali ganda berbanding tahun lalu.

A Moment in English 2010 berlangsung di Taman Budaya di sini kelmarin dengan para pelajar penuh yakin dan bersemangat menunjukkan bakat dalam pelbagai persembahan berteraskan bahasa Inggeris.

Program anjuran Jabatan Pelajaran yang dibiayai oleh syarikat minyak itu bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa dan menyemaikan kesukaan mereka untuk mengamalkan penggunaannya.

Ia menyaksikan mereka memperagakan bakat termasuk pengucapan awam, koir, drama, nyanyian beraksi, choralsical dan bercerita.

Para pelajar dari 17 buah sekolah termasuk lima sekolah menengah di samping 12 sekolah rendah dari pelosok negeri turut mempersembahkan deklamasi puisi, sketsa dan nyanyian.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Zubir Embong.

Turut hadir Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Exxonmobil, Grace Choo Sor Mooi dan Penasihat Hubungan Komunitinya, Ida Ruzaini Altahari.

Zubir berkata, program tahunan kali kesembilan itu diadakan untuk meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui pendekatan kreatif dan menghiburkan.

Katanya, ia memperagakan bakat pelajar dalam seni artistik dan bahasa di samping memberi peluang kepada para pelajar dan guru-guru berkongsi pendekatan untuk meningkatkan kemahiran dan kreativiti.

''Ia juga bagi mempersembahkan kepada semua jemputan, acara-acara ko-akademik bahasa Inggeris yang telah dimenangi para pelajar Terengganu di peringkat kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Grace berkata, pihaknya sentiasa menyokong program-program berbentuk pendidikan termasuk dalam menanam dan menerapkan bahasa Inggeris di negeri ini.

''Saya juga terpesona dengan kemampuan yang ditunjukkan oleh para pelajar negeri ini dalam membuat persembahan yang kreatif," katanya.

Baginya, program itu unik kerana ia dirangka bagi menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menarik, lebih menawan hati dan menyeronokkan bagi pelajar.

''Ia dirangka bagi memboleh penggunaan bahasa sentiasa dilatih dan dijadikan amalan kerana para pelajar perlu menghasilkan persembahan terbaik bagi sekolah dan persiapan untuk menyertai mana-mana pertandingan," kata beliau.

Beliau berkata, bagi menyatakan sokongan berterusan syarikat terhadap program berkenaan, pihaknya meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM100,000 pada tahun ini berbanding RM80,000 tahun lepas.

Selain menyokong perkembangan program itu, ExxonMobil juga telah membiayai penubuhan 'English Theme Park' dalam usaha melahirkan lebih ramai kalangan yang fasih berucap dalam bahasa itu.

''Kita juga telah membantu menubuhkan Terengganu English Resource & Information Center (TERIC) bagi membantu guru-guru mata pelajaran itu untuk mendapatkan maklumat-maklumat baru berhubung teknik pengajaran secara inovatif," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: